Rumah terbakar, penenun songket hilang mata pencarian

Rumah terbakar, penenun songket hilang mata pencarian

HASNAH Mohamed melihat sebahagian daripada perkakas yang rosak selepas rumahnya terbakar di Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu. - UTUSAN/TENGKU DANISH TENGKU YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang penenun songket hilang mata pencarian selepas rumah didiaminya bersama suami dan tiga anak di Kampung Gong Tok Nasek hangus, semalam.

Hasnah Mohamed, 59, berkata, kebakaran berlaku kira-kira pukul 4.30 petang disyaki akibat litar pintas selepas disambar petir menyebabkan mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.

Menurutnya, sebelum kejadian, dia sedang berehat di tingkat bawah sambil menunggu waktu asar sebelum dikejutkan dentuman kuat dan kepulan asap dari tingkat atas.

“Kejadian terlalu cepat dan api marak tidak sampai lima minit sehingga bekalan elektrik terputus manakala anak lelaki di tingkat atas terpaksa terjun untuk menyelamatkan diri.

“Semua kelengkapan menenun termasuk kain sutera, benang dan alat-alat dianggarkan lebih RM5,000 turut musnah termasuk kain songket yang sudah hampir siap untuk diambil pelanggan.

“Walaupun hilang mata pencarian dan tinggal sehelai sepinggang, saya bersyukur sempat menyelamatkan diri termasuk suami, Muhamad Kifli Omar, 62, yang tidak berapa sihat.

“Selain itu kebakaran itu turut memusnahkan sebuah rumah didiami dua beradik saya berusia lingkungan 50-an dan 60-an yang terletak bersebelahan,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar memberitahu, kebakaran melibatkan dua buah rumah dua tingkat jenis separuh kekal yang musnah lebih 80 peratus manakala sebuah lagi setingkat terbakar lima peratus.

“Walaupun berdepan kesukaran kerana kedudukan rumah yang agak rapat, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira pukul 5.33 petang sebelum operasi tamat 7.40 malam,” ujarnya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN