KUALA LUMPUR: Seorang pekerja kedai makanan segera diperintah untuk menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku salah mencabul kanak-kanak berusia 12 tahun awal bulan lalu.
Hakim Tasnim Abu Bakar menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Amir Iskandar,19, selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa terhadap remaja itu, hari ini.
Tertuduh didakwa telah meraba mangsa ketika berada di dalam lif sebuah pangsapuri di Taman Desa, di sini pada 10 Jun lalu.
“Hukuman itu dijatuhkan selepas mengambil kira syor dalam Laporan Pesalah Muda oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat,” kata Tasnim.
Menurut fakta kes, tertuduh telah meraba kanak-kanak itu di hadapan adik mangsa yang berusia 10 tahun. Selepas keluar daripada lif, mangsa memberitahu ibunya mengenai kejadian tersebut dan ibunya membuat laporan polis berhubung kejadian pada hari yang sama.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir memohon kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
“Hukuman berat dan setimpal perlu dikenakan bagi menjaga menjaga kepentingan awam dan membendung kes amang seksual yang semakin meningkat di negara kita.
“Apabila disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih daripada 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman seba mengikut seksyen tersebut,” kata pendakwa tersebut.
Bagaimanapun, remaja terbabit merayu supaya mahkamah mengenakan hukuman ringan dan memohon agar tidak dipenjarakan.
Amir memohon mahkamah menghantarnya ke sekolah juvana kerana ingin menyambung pelajaran untuk mencapai cita-cita dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahannya. – UTUSAN










