PETALING JAYA: Rakyat dewasa Malaysia mengambil gula 26 sudu sehari berbanding enam sudu seperti disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu lebihan sehingga 80 peratus pengambilan bahan itu.
Berdasarkan data platform World Population Review, Malaysia menduduki tempat ke-14 negara tertinggi dunia dalam pengambilan gula iaitu sebanyak 41.63 kilogram (kg) per kapita dalam setahun atau bersamaan 8,326 sudu teh gula.
Negara tertinggi mengambil gula ialah Barbados, Guatemala, Cuba, Belgium dan Kiribati serta Costa Rica.
Angka itu membuktikan penggunaan gula adalah tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia sehingga mendorong satu daripada enam orang dewasa atau 15.6 peratus daripada populasi dewasa di negara ini didiagnosis sebagai pengidap diabetes seperti laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023.
Menurut laporan NHMS, bilangan pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis meningkat 5,000 sehingga 10,000 pesakit setiap tahun yang kebanyakannya berpunca daripada kencing manis akibat pengambilan gula berlebihan.
Tambah laporan itu lagi, lebih setengah juta atau 2.5 peratus penduduk dewasa negara ini menghidap empat penyakit tidak berjangkit (NCD) iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi, kolestrol tinggi dan obesiti.
Manakala menerusi maklumat Pendaftaran Dialisis dan Pemindahan Malaysia 2022 pula terdapat 9,592 pesakit baharu mendapat rawatan dialisis berbanding 9,352 pesakit pada tahun 2021.
Timbalan Pengerusi Persatuan Haemodialisis Bumiputera Malaysia (PPHBM), Mohd. Nazaruddin Jamaluddin berkata, peringkat umur yang ramai terpaksa melakukan dialisis membabitkan kalangan pesakit berusia 35 sehingga 65 tahun.
Katanya, bilangan pesakit yang memerlukan rawatan dialisis setiap tahun meningkat drastik iaitu sekitar 50 peratus setiap tahun.
“Jumlah pesakit baharu yang alami kegagalan ginjal bertambah 5,000 sehingga 10,000 orang setiap tahun.
“Kebanyakan mereka yang melakukan dialisis adalah berpunca daripada penyakit kencing manis dan darah tinggi,” kata beliau kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, pihaknya sedang merangka Kempen ‘Kurang Gula, Kurang Harga’ bersama pihak berkepentingan lain yang bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat mengenai kepentingan amalan pemakanan sihat melalui pengurangan pengambilan gula dalam diet harian.
Menurut beliau, kempen tersebut yang dijangka berlangsung pada pertengahan Ogos ini dirangka khusus bagi mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia di samping membantu mengurangkan kos rawatan dan perubatan susulan penyakit yang berpunca daripada tabiat pemakanan yang tidak sihat.
Bagaimanapun katanya, butiran lanjut berkenaan kempen tersebut bakal diumumkan ketika pelancaran program tersebut.
“Pihak kementerian merencana initiatif ini untuk mengangkat agenda kerajaan iaitu gaya hidup sihat sesuai dengan skop kerja kami iaitu salah satu daripadanya adalah melibatkan peniaga pengedaran (borong dan runcit).
“Oleh demikian, pihak kementerian mengambil langkah proaktif dengan mengadakan satu sesi libat urus untuk mencapai kata sepakat dengan industri dalam menerajui kempen pencegahan dan pengawalan penyakit berkaitan pemakanan secara lebih holistik dan berkesan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Peningkatan pengambilan gula sebelum ini pernah mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan semua kementerian dan agensi kerajaan melaksanakan kempen kurangkan gula berikutan Malaysia kini merekodkan bilangan penghidap diabetes paling tinggi di Asia.
Anwar berkata, Malaysia sepatutnya menjadi negara sihat kerana Islam menekankan keperluan penjagaan kesihatan tetapi keadaan sekarang adalah sebaliknya.
Menurut Fuziah, kajian juga menunjukkan salah satu faktor yang mendorong penggunaan gula berlebihan oleh rakyat Malaysia disebabkan harga runcit di Malaysia yang paling rendah di negara Asean, lebih rendah dari Thailand yang merupakan pengeluar dan pengeksport gula dunia.
Katanya, pihak kementerian komited untuk memulakan beberapa langkah preventif dari sekarang bermula di peringkat pengguna dan pengusaha makanan bermasak.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berterima kasih kepada semua pihak yang turut merasa prihatin dan seterusnya menyambut baik kempen ‘Kurang Gula, Kurang Harga’ yang akan diumumkan secara rasmi dalam masa terdekat,” katanya.
Dalam pada itu, Pakar Kesihatan Komuniti, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, masyarakat juga perlu peka untuk mengurangkan gula dalam makanan pada setiap hari termasuk mengamalkan gaya hidup sihat.
“Jika perkara ini gagal ditangani, kos subsidi untuk kesihatan rakyat akan terus meningkat jika terus dibebani dengan komplikasi kencing manis seperti buah pinggang. Malah kini sudah banyak pusat dialisis di Malaysia tetapi belum cukup.
“Oleh demikian di samping usaha kerajaan, rakyat sendiri perlu menjalani gaya hidup sihat termasuk kekal aktif sesuai umur, berat badan ideal, senaman, berhenti merokok dan mengurangkan stres,” katanya. – UTUSAN










