PETALING JAYA: Pihak pendakwaan sudah menyerahkan sebahagian besar dokumen perbicaraan kepada pasukan peguam termasuk pernyataan yang direkodkan daripada ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin beserta gambar-gambar di tempat kejadian.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar memberitahu Mahkamah Sesyen di sini semalam, bagaimanapun laporan forensik dan salinan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) belum diserahkan kepada pasukan pembelaan kerana masih dalam peringkat penyediaan.
Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon satu lagi tarikh sebutan bagi membolehkan baki dokumen tersebut diserahkan sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh kemudian menetapkan 18 September ini untuk status penyerahan dokumen.
Sementara itu, peguam Fahmi Abd. Moin ketika ditemui pihak media sejurus selepas mahkamah menamatkan sidangnya berkata, selain pernyataan kedua-dua tertuduh gambar tempat kejadian, pihaknya juga telah menerima laporan doktor berkaitan kes berkenaan.
Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf dituduh mengabaikan kanak-kanak autisme itu di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 29 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










