Pusat kecemerlangan industri tingkat kualiti latihan GIATMARA - Utusan Malaysia

Pusat kecemerlangan industri tingkat kualiti latihan GIATMARA

PELATIH GiatMARA membaiki motosikal berkuasa tinggi di Pusat Kecemerlangan Industri Teknologi Modenas dan Kawasaki yang diwujudkan di GiatMARA Pendang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) Teknologi Motosikal Modenas dan Kawasaki yang dibangunkan di GiatMARA Pendang, memperkasakan aktiviti kolaborasi antara pusat berkenaan dengan pihak industri melalui konsep pengajaran berasaskan kilang.

Ketua Pegawai Eksektif GiatMARA, Ahmad Hamdi Ibrahim berkata, kerjasama itu adalah manifestasi komitmen GiatMARA untuk meningkatkan lagi kualiti latihan kemahiran yang ditawarkan.

Menurutnya, kerjasama Modenas dan GiatMARA terjalin sejak awal tahun lalu berikutan kepakaran dan teknologi yang dibawa syarikat pengeluar motosikal itu untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dengan adanya sokongan dan kerjasama pihak industri, GiatMARA dapat memastikan latihan yang diberikan kepada para pelatih adalah relevan dan memenuhi kehendak pasaran kerja semasa.

“Skop kerjasama juga luas, selain penempatan pelatih untuk kerjaya kita juga berhasrat untuk meningkatkan ilmu dan kompetensi tenaga pengajar melalui program Train The Trainer (TOT),” katanya selepas Majlis Peluncuran ICoE di Pusat GiatMARA Pendang, di sini hari ini.

Ahmad Hamdi berkata, dua buah bengkel motosikal iaitu sebuah bengkel teknologi motosikal berkuasa tinggi Kawasaki dan sebuah bengkel teknologi motosikal Modenas turut dibangunkan setelah tertubuhnya ICoE tersebut.

Katanya, bengkel berkenaan menawarkan konsep kursus pengkhususan menggunakan modul dan peralatan Modenas dan Kawasaki selain membabitkan konsep perintis industri, pembelajaran berasaskan kerja sebenar serta belajar dan mendapat upah.

“Modenas turut menyerahkan tiga buah motosikal berkuasa tinggi, enjin motosikal untuk latihan dan peralatan khas mendiagnos kerosakan untuk kegunaan pelatih selain tenaga pengajar GiatMARA juga diberi latihan khas dengan teknologi terkini kedua-dua jenama itu,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Hamdi berkata, Modenas turut menyatakan hasrat untuk melatih dan memberi pendedahan kepada GiatMARA untuk penyelengaraan motosikal elektrik yang semakin mendapat permintaan dalam kalangan pengguna ketika ini.

“Buat masa ini juruteknik yang mahir dalam kenderaan elektrik (EV) masih tidak ramai dan dengan pendedahan yang akan diberikan Modenas kepada GiatMARA kami yakin dapat memenuhi keperluan pekerjaan melibatkan bidang itu.

“Kerjasama industri ini tidak terhenti kepada melahirkan mekanik atau juruteknik yang mahir sahaja tetapi lebih penting akan mewujudkan usahawan dalam bidang automotif daripada lepasan GiatMARA,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN