Pulau Pinang kekal pengeksport utama negara

Pulau Pinang kekal pengeksport utama negara

CHOW Kon Yeow (enam dari kiri) dan Reezal Merican Naina Merican (empat dari kanan) ketika hadir pada acara perasmian Hari Eksport Pulau Pinang 2024 di Bayan Lepas, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama di negara ini apabila mencatatkan nilai eksport sebanyak RM177.99 bilion antara Januari hingga Mei tahun ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, jumlah tersebut adalah peningkatan sebanyak 3.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Pulau Pinang telah mencatatkan kedudukan pertama bagi jumlah eksport dengan menyumbang sebanyak 30.5 peratus iaitu kira-kira RM434.74 bilion daripada jumlah keseluruhan eksport negara pada tahun lepas.

“Selain itu, nisbah perdagangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Pulau Pinang terus berkembang, membuktikan negeri ini yang mesra perdaganganantarabangsa secara keseluruhan,”katanya ketika berucap merasmikan Hari Eksport Pulau Pinang 2024 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Menurut Kon Yeow, bagi tahun 2023, dari segi produk, jentera dan peralatan pengangkutan, barangan perkilangan, kimia dan bahan kimia serta sektor produk makanan merupakan antara produk eksport utama Pulau Pinang dan kesemua sektor berkaitan berjaya mencatatkan pertumbuhan positif.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, menurut data Matrade, daripada jumlah keseluruhan 13,018 syarikat yang berdaftar dengan Matrade, 958 adalah syarikat dari Pulau Pinang.

“Daripada jumlah ini (958), sebanyak 786 atau 82 peratus adalah perusahaan mikro, kecil dan sederhana manakala selebihnya adalah syarikat pertengahan dan syarikat tempatan besar,” katanya.

Reezal berkata terdapat keperluan untuk memberi tumpuan kepada mewujudkan lebih banyak syarikat pertengahan.

“Terdapat hanya 1,000 syarikat pertengahan di negara ini tetapi syarikat-syarikat ini memberi manfaat kepada lebih 9,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini,” katanya.

Tambah beliau, di Pulau Pinang, terdapat 637 syarikat pertengahan dan daripada jumlah ini, 292 terlibat dalam eksport.

“Syarikat pertengahan menyumbang lebih banyak kepada pasaran pekerjaan dengan limpahan kepada PKS tempatan,” katanya yang memberitahu, syarikat multinasional mungkin membawa masuk pelaburan tetapi sebahagian daripada mereka membawa bersama pekerja ekspatriat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN