ALOR SETAR: Projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau dan Bukit Selambau tidak berdepan masalah besar seperti digembar-gemburkan walaupun diberikan lanjutan masa (EOT) hingga Januari dan April tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ketika ini LRA Sungai Limau mengalami kelewatan kerja sebanyak tujuh peratus, manakala LRA Bukit Selambau berada satu peratus di depan jadual asal.
“Saya melawat sendiri kedua-dua LRA tersebut semalam yang dikatakan pihak tertentu bergerak perlahan. Sebenarnya kedua-dua projek ini telah diberikan EOT buat kali kedua.
“Ada pihak kata EOT ini diberi oleh kerajaan negeri walhal diluluskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) setelah melalui pertimbangan teknikal merangkumi beberapa isu di luar kawalan kontraktor seperti peningkatan harga barang dan pewartaan tanah.
“Semua itu bukan direka-reka untuk projek ini sebaliknya termaktub dalam ‘buku’ dan digunapakai untuk semua projek dalam Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, kehadirannya bersama semua agensi terlibat bukan bertujuan untuk mencari salah mana-mana pihak sebaliknya untuk mencari jalan penyelesaian bagi menyempurnakan projek tersebut.
“Kita faham kekangan dihadapi mereka terutamanya berkaitan kenaikan harga barang. Saya fikir kekangan paling beasr kepada kontraktor adalah peningkatan kos kerana tender itu dibuat pada 2019 dan keputusannya keluar apda 2021.
“Dalam tempoh itu berlaku kenaikan harga barang dan tekanan harga tender sangat berat. Sekarang ini pun harga barang binaan meningkat lagi disebabkan kenaikan harga diesel dan hal itulah yang paling rumit bagi kontraktor,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mempertikai tindakan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang didakwa tidak mematuhi carta aliran kerja sepatutnya berhubung projek tersebut.
“Aliran kerja sepatutnya sama ada saya, exco atau beliau sendiri perlu pergi kepada penguasa projek iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk mendapat laporan berhubung projek itu. Setiap minggu saya akan tanya SUK dalam mesyuarat exco.
“SUK pula panggil wakil penguasa iaitu JKR untuk beri taklimat dan kami masing-masing akan beri pandangan. Itu cara yang betul dan bukannya pergi ‘tibai’ kontraktor di tapak projek,” katanya. -UTUSAN








