Program tajaan syarikat minuman keras tidak libatkan murid - Anthony Loke - Utusan Malaysia

Program tajaan syarikat minuman keras tidak libatkan murid – Anthony Loke

Minuman keras
ANTHONY Loke Siew Fook ditemui pemberita selepas meninjau perkembangan pembinaan LRT3 dekat Stesen LRT Pasar Jawa di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Penganjuran program ditaja sebuah syarikat minuman keras di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Tche Min di Sepang baru-baru ini didakwa tidak melibatkan murid sebaliknya ibu bapa bagi mengumpul dana pembangunan sekolah.

Malah, penajaan oleh syarikat sedemikian dikatakan bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya pernah dilakukan sebelum ini dan dianggap sebagai status quo berikutan ia sudah pun diamalkan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebelum ini status quo tersebut diluluskan Kabinet atas dasar sudah dipraktikkan dan ia tidak menimbulkan masalah.

“Jadi, hanya ada pihak-pihak yang cuba mengungkit dan mempolitikkan perkara itu dan dijadikan satu polemik, selepas ini kita jelas keputusan Kabinet sudah dibuat, ada beberapa garis panduan kalau berada dalam premis sekolah, jenama atau logo tak boleh dipaparkan, tetapi program boleh dibuat.

“Yang terlibat, kebanyakannya yang pergi adalah ibu bapa, bukannya anak-anak murid, yang hadir tujuannya adalah untuk (pengumpulan) dana dan sebagainya dan sudah dipraktikkan selama ini, tak menjadi isu pun dalam kalangan bukan Islam,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Tambahnya, isu sedemikian tidak sepatutnya timbul apabila pelbagai pihak seperti pemimpin dan menteri UMNO termasuk Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan ia dibenarkan sejak dahulu lagi dan sudah dipraktikkan selama ini.

Terdahulu, gambar Ketua Wanita Parti Amanah, Datuk Aiman Athirah Sabu bergambar bersama cek cura berlogo syarikat minuman keras, Tiger tular dalam media sosial sehingga menimbulkan pertikaian terhadap beliau dan partinya.

Malah, pelbagai pihak kemudian mempertikai dasar kerajaan berhubung kebenaran sebuah syarikat yang disifatkan sebagai tidak mesra kepada pendidikan yang sihat menaja atau mendanai sebarang program atau pembangunan melibatkan sekolah.

Bagaimanapun, Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan itu menjelaskan, tiada kelompongan atau grey area terhadap pelaksanaan dasar tersebut dan sebaliknya menjelaskan syarikat sedemikian tidak sewajarnya memaparkan logo mereka apabila terlibat dalam penganjuran program dalam kawasan sekolah.

“Tetapi, kalau dekat luar ia tak ada halangan, tetapi kebanyakan program-program dibuat di luar premis sekolah, seperti di restoran dan sebagainya.

“Jadi, status quo diteruskan untuk penganjuran program itu tetapi dengan satu syarat yang ditetapkan oleh Jemaah Menteri, tidak melibatkan pelajar-pelajar beragama Islam, jelaslah,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN