KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menempatkan seramai 33 pegawai dan anggota penguatkuasa bagi memantau proses kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos depan.
Pengarahnya, Rosli Husain berkata, kesemua anggota berkenaan akan bertugas secara bergilir-gilir dan diselia oleh pegawai kanan pada setiap sesi pagi, petang dan malam di bilik gerakan utama di Ibu Pejabat SPRM Kota Bharu dan di cawangan Gua Musang.
Menurutnya, bilik gerakan berkenaan akan dibuka sebaik sahaja proses penamaan calon pada 3 Ogos depan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat, aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang PRK DUN Nenggiri.
“Bilik gerakan utama di Kota Bharu akan beroperasi 24 jam manakala di Gua Musang akan dibuka pada pukul 8 pagi hingga 5 petang.
“Semua anggota dan pegawai yang terlibati akan memantau perjalanan proses PRK DUN Nenggiti sama ada berlaku rasuah atau penyalahgunaan kuasa sepanjang kempen berlangsung,” katanya ketika ditemui pada Program Ahli Politik dan SPRM Negeri Kelantan Komited Memperkasa Budaya Tolak Rasuah di Kompleks Kota Darulnaim di sini, semalam.
Rosli turut mengingatkan semua calon dan parti politik yang bertanding supaya tidak melakukan aktiviti yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Ramai yang tidak menyedari bahawa Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 ini merangkumi banyak perkara termasuk menjamu, menjanjikan dan memberi sumbangan sepanjang kempen pilihan raya.
“Kita tidak boleh melakukan perkara-perkara tersebut kerana ia boleh menyebabkan satu tindakan penyiasatan dilakukan,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri ialah pada 17 Ogos depan, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula pada 3 serta 13 Ogos. – UTUSAN









