‘Politik pembangunan’ tidak lagi mampu pikat pengundi muda - Utusan Malaysia

‘Politik pembangunan’ tidak lagi mampu pikat pengundi muda

SHAMSUL ANUAR NASARAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: UMNO perlu mengubah pendekatan untuk menarik pengundi muda yang tidak lagi melihat projek pembangunan sebagai faktor utama untuk mereka membuat keputusan memilih kerajaan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, golongan itu kini lebih memilih idea dan pemikiran memandangkan rata-rata mereka memiliki tahap pendidikan yang tinggi.

“Jadi cabarannya bagaimana hendak memenuhi pemikiran mereka yang berbeza. Politik pembangunan di sesetengah tempat mungkin masih lagi berkesan tapi kebanyakan kawasan-kawasan lain bukan lagi faktor utama.

“Ini kerana ada sebahagian anak muda kata siapa jadi kerajaan pun jalan raya, sekolah, hospital dibina juga. Jadi mereka mahu integriti dan wawasan kerana mungkin dengan ada perkara-perkara ini pembangunan akan lebih baik,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Alor Setar di sini, hari ini.

Shamsul Anuar berkata, UMNO tidak ada pilihan melainkan membuat perubahan terhadap cara bekerja dan idea untuk disesuaikan dengan kemahuan dan citarasa pengundi muda.

“Parti tidak ada pilihan, mesti melakukan perubahan kerana kalau tidak kita tak akan dapat sokongan. Tapi pada masa yang sama UMNO mesti kekalkan prinsip asal perjuangan parti.

“Jika kita masih kekal dengan pendekatan lama, sedangkan rakyat sudah berubah kita bimbang kita akan hadapi keputusan lebih teruk daripada sebelum ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×