Polis, SKMM buru 'penyamar' Raja Muda Selangor - Utusan Malaysia

Polis, SKMM buru ‘penyamar’ Raja Muda Selangor

Raja Muda Selangor
HUSSEIN Omar Khan ditemui pemberita pada perasmian program Anak Syurga dekat Dewan C'rana Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mempergiatkan usaha mengesan pemilik akaun TikTok palsu yang menggunakan gambar profil dan nama Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya merujuk kes itu kepada SKMM bagi tindakan lanjut terutama menurunkan pautan mengenai akaun palsu tersebut.

Menurutnya, sekurang-kurangnya lima hingga enam pautan di aplikasi berkenaan sudah disekat setakat ini.

“Siasatan masih giat diteruskan bagi mengesan pihak yang terlibat dalam kes berkenaan terutama penyamarnya.

“Kita dalam proses mengenalpasti individu itu dan akan memanggilnya. Ia mungkin akan mengambil masa,” katanya selepas merasmikan program Anak Syurga, hari ini.

Semalam, polis Selangor dilapor membuka kertas siasatan selepas menerima laporan daripada pejabat Istana Selangor kelmarin susulan kewujudan akaun TikTok didapati bukan milik Tengku Amir Shah dan disahkan palsu.

Tambah Hussien, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Md. Anuar Md. Amilah @ Harun di talian 019-2255597 atau balai polis berdekatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Selangor mencadangkan pembinaan satu pusat pendidikan khas bagi warga polis yang mempunyai anak istimewa termasuk autistik.

“Langkah itu bagi membantu pegawai atau anggota polis mempunyai ilmu berkaitan penjagaan golongan berkenaan daripada pakar kanak-kanak dan psikologi.

“Saya percaya jika mereka berada dalam keadaan stabil, mereka boleh menjalankan tugas kepolisan dengan baik. Namun, kalau mereka ada masalah dengan anak istimewa di rumah, ia mungkin boleh merencat penugasan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN