Pindaan Akta Penagih Dadah 1983 beri kekuatan kepada AADK

Pindaan Akta Penagih Dadah 1983 beri kekuatan kepada AADK

SHAMSUL ANUAR NASARAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG : Kerajaan komited memastikan usaha pemulihan dalam kalangan penagih dadah dapat ditambah baik menerusi pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, pindaan itu akan memberi kekuatan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sebagai agensi penting dalam program pemulihan penagihan dadah. 

Beliau berkata, semua pihak memainkan peranan memastikan isu penyalahgunaan dadah dapat ditangani bersama.

“Matlamat pindaan itu dibuat untuk menggerakkan masyarakat secara keseluruhan bersama-sama menangani isu dadah kerana tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan pada satu pihak sahaja.

 “Selain AADK dan KDN sendiri, komuniti juga memainkan peranan kerana jika klien diletakkan dalam masyarakat untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan masyarakat, ia akan memberikan tahap kepulihan yang tinggi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program i-Deen Kepulihan AADK 2024 di Ibu Pejabat AADK di sini, hari ini. 

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman; Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Nordin Muhamad dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK,Khairul Anwar Bachok. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara intipati pindaan adalah untuk memartabatkan peranan dan kedudukan pegawai pemulihan daripada AADK yang selama 41 tahun berjuang dan mengerah keringat membantu memulihkan mereka yang terjebak dengan dadah. 

“Saya percaya dengan pindaan RUU ini perkhidmatan disediakan AADK kepada kumpulan sasar adalah lebih mudah, cepat dan meluas. 

“Melalui pindaan ini juga, usaha pemulihan akan jadi lebih meluas dan semua individu yang mempunyai permasalahan dadah lebih cepat mendapat perkhidmatan tanpa melalui beberapa birokrasi yang selama ini menjadi halangan kepada usaha merawat klien,” jelasnya.

Tambah beliau, bacaan pindaan RUU itu telah dibacakan kali pertama dan kedua di Parlimen bermula semalam. 

Beliau berkata, pembentangan itu sudah berada di peringkat perbahasan sebelum pergulungan dan keputusan dibuat lewat petang ini.

“Berdasarkan respons ahli-ahli Dewan, sebanyak 39 ahli Parlimen telah berdaftar untuk berbahas mengenai perkara ini.  Ia sekaligus menunjukkan minat dan keprihatinan ahli Dewan yang juga sebahagian daripada kerajaan dan pembangkang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN