KUALA SELANGOR: Kerajaan disaran perkenal dasar bagi membantu usahawan-usahawan kecil dan baharu menjalankan perniagaan selepas mereka didakwa berdepan tekanan peningkatan kos berikutan pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel.
Selain dasar tersebut, kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan turut digesa memberi kelonggaran dan kemudahan kepada golongan itu supaya tidak ditekan dengan kadar sewa tapak penjaja, premis atau padang yang terlalu mahal.
Bekas Menteri Keusahawanan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, beliau memahami masalah dihadapi usahawan kecil yang dikatakan masih ramai bergelut ketika ekonomi tempatan sedang pulih pada pasca pandemik Covid-19.
“Mula jadi menteri usahawan dan habis pun jadi menteri usahawan juga. Jadi, memang usahawan dekat di hati, saya tahu banyak masalah usahawan dan kali ini kita sedia maklum apabila harga minyak naik, pembekal juga terpaksa naikkan harga bahan mentah dan penjual terpaksa beli dengan harga yang mahal.
“Jadi, kita nampak bebanan kepada usahawan kecil memang harus diberikan bantuan, walaupun kita harap kerajaan akan perkenalkan dasar-dasar yang baharu untuk membantu usahawan,” katanya pada ucapan perasmian Karnival Usahawan Mayda FT Food Mania 3.0, malam tadi.
Jelas Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN) itu, ketika menjadi menteri portfolio tersebut, beliau memperkenalkan dasar dengan memberi bantuan pinjaman mudah kepada usahawan tanpa perlu menyemak laporan CTOS atau CCRIS mereka.
“Saya perkenalkan juga satu dasar, beri pinjam pada tahun ini, tahun hadapan baru bayar, ini kerana pada masa itu usahawan tengah menghadapi masalah PKP dan hendak mula berniaga.
“Jadi saya harap kerajaan pada hari ini termasuklah kerajaan negeri kalau ada program macam ini, kenalah tolong janganlah kenakan caj yang mahal. Saya difahamkan untuk sewa dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) sahaja RM12,000 kena bayar, bukan free. Padang Astaka, Tanjong Karang pun dahulu saya yang beri peruntukan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang mahu usahawan khususnya di kawasan berkenaan supaya terus dibela dan tidak terbeban dengan kerenah birokrasi serta tekanan-tekanan akibat caj yang melampau.
“Saya minta kepada kerajaan negeri apabila Mayda hendak pusing seluruh Selangor, berilah kelonggaran supaya dapat galakkan usahawan-usahawan berniaga dan juga yang penting kita dapat berkumpul dengan sebegini ramai pada malam ini.
“Saya mahu di Tanjong Karang, usahawan-usahawan kecil akan terus maju sebab itu pada sumbangan terakhir saya, di depan pasar yang ada bumbung untuk perniagaan, itu pun sepatutnya pihak PBT yang buat, saya tunggu majlis tak buat, tetapi sewanya majlis yang ambil,” katanya.
Terdahulu, pada majlis tersebut Noh mengumumkan sumbangan bantuan sebanyak RM10,000 kepada penganjuran karnival tersebut bagi menggalakkan penglibatan lebih ramai usahawan khususnya golongan muda dalam perniagaan. – UTUSAN










