PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini semalam menolak permohonan pasukan pembelaan agar pemilik lima akaun TikTok dikenakan perintah larangan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut berhubung kandungan dalam aplikasi itu yang didakwa menyentuh kes pengabaian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Lima akaun tersebut adalah @be.malaysian.2.0; @cikpika_pika_ii; @myraskitchen00, @malaikatmaut382 dan @ceo.zayn.rayyan.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh sebaliknya mengarahkan pihak pembelaan membuat laporan kepada pihak berkuasa yang relevan sekiranya terdapat pemilik media sosial yang menggunakan kes berkenaan sebagai kandungan (content) yang mengundang komen-komen subjudis dan menghina.
“Pada prosiding sebelum ini, mahkamah telah membuat perintah larangan bersuara (gag order) untuk pihak-pihak yang terlibat dalam kes ini, namun sekiranya terdapat aduan lanjut mengenai perkara ini, pihak pembelaan boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa yang relevan,” kata hakim itu pada prosiding sebutan semalam.
Terdahulu, peguam Fahmi Abd. Moin menarik perhatian mahkamah dengan memaklumkan terdapat lima akaun TikTok yang dikenal pasti membuat video siaran langsung yang bersifat subjudis dan seolah-olah melakukan buli siber terhadap kedua-dua tertuduh dan pihak pembelaan.
“Sekiranya dilihat dalam akaun-akaun itu, terdapat kenyataan, status dan komen yang berbentuk hasutan yang tidak kena pada tempatnya. Kami mohon agar kelima-lima pengendali akaun ini dikenakan perintah larangan bersuara dan sekiranya mereka melanggar perintah itu, anak guam kami akan membuat laporan polis,” kata Fahmi yang mengendalikan kes bersama peguam Ilyani Khuszairy.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar berkata, memandangkan perkara ini baru diberitahu kepada pihak pendakwaan pagi ini, pihaknya belum sempat meneliti akaun-akaun berkenaan.
Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Fahmi berkata, pihaknya akan memantau terlebih dahulu kelima-lima akaun tersebut selepas amaran dikeluarkan oleh mahkamah.
“Kami akan mengadakan perbincangan semula dengan anak guam untuk menentukan tindakan selanjutnya sekiranya kandungan-kandungan ini dimuat naik lagi,” katanya.
Mengulas lanjut siaran langsung dalam TikTok berkenaan, Fahmi melahirkan rasa terkilan kerana pemiliknya menggunakan kes Zayn Rayyan bagi menarik jumlah penonton ketika menjual produk melalui aplikasi itu.
Kata beliau, pasukan pembelaan yang mula memantau laman-laman sosial sejak bertindak bagi pihak keluarga berkenaan, menyedari wujud akaun tertentu yang kerap mengadakan siaran langsung sambil mengulas isu kes yang bersifat subjudis untuk menaikkan jumlah penonton.
“Saya tidak kisah jika mereka berbincang berkaitan kes Zayn Rayyan secara ilmiah, namun mereka bersiaran langsung hampir setiap hari dan menggunakan kes itu untuk menjual produk,” ujarnya. – UTUSAN










