IPOH: Perak menerima 3.61 juta pelancong dari Januari sehingga Jun tahun ini, iaitu peningkatan sekitar 70 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, berdasarkan survei oleh Jabatan Perangkaan, Ipoh, Manjung, dan Taiping terus menjadi lokasi tarikan utama pelancong.
Pada masa sama menerusi teks jawapannya, kerajaan negeri tidak memilih untuk mengupah bintang filem terkenal bagi mempromosikan pelancongan Perak seperti negeri lain.
Ini kerana keutamaan Perak adalah untuk menggunakan peruntukan tersebut untuk pembangunan infrastruktur asas.
“Meskipun potensi promosi melalui bintang filem adalah besar, namun kerajaan negeri Perak memilih untuk menggunakan sumber kewangan dengan bijak untuk pembangunan dan kemajuan negeri dalam jangka panjang,” menurut teks jawapan soalan lisan dan tambahan Sze Yee yang diedarkan kepada media sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Beliau sebelum itu menjawab soalan Sallehuddin Abdullah (Pas-Selinsing) yang bertanyakan tentang prestasi suku tahun pertama Tahun Melawat Negeri Perak 2024.
Negeri Melaka sebelum ini mengupah bintang antarabangsa China, Fan Bingbing, sebagai duta pelancongan negeri itu.
Sze Yee berkata, kerajaan negeri yakin bahawa penduduk tempatan dapat berperanan sebagai duta mempromosikan pelancongan Perak yang efektif.
Beliau juga berkata Kerajaan Perak juga telah mengambil inisiatif mempaparkan papan tanda gergasi mengenai informasi produk pelancongan Perak di Kuala Lumpur, yang dilihat berhasil menarik pelancong asing ke Perak. – UTUSAN









