PETALING JAYA: Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh belakang sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 13.1 Lebuh Raya Guthrie, di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.48 pagi itu, mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 18 tahun dalam perjalanan dari Rawang menghala Shah Alam dengan motosikal jenis Yamaha RXZ.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, mangsa telah melanggar belakang SUV jenis Toyota Harrier yang dipandu lelaki berusia 71 tahun.
“Mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mengulas lanjut, kata beliau, satu laporan polis diterima daripada pemandu SUV terbabit pada pukul 12.10 tengah malam tadi di Balai Trafik Sungai Buloh.
“Saksi kejadian diminta tampil menghubungi Inspektor Hasanal Hasif Johari di talian 019-2264650 bagi membantu siasatan,” jelasnya. – UTUSAN











