KUALA NERUS: Seorang penunggang motosikal maut setelah merempuh tiang elektrik di Jalan Mengabang Panjang dekat Kampung Batu Rakit, di sini, pukul 6.25 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor, berkata, Muhammad Idzam Erman Osmannizam, 23, meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut Azli, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda FS150 itu datang dari arah Kampung Batu Rakit menuju Lembah Bidong.
Setibanya di tempat kejadian, pemuda yang beralamat Kampung Gosong Batu, Machang, Kelantan itu gagal mengawal motosikal lalu terbabas sendiri ke sebelah kiri bahu jalan.
“Selepas terbabas ke bahu jalan, motosikal ditunggangnya kemudian merempuh sebuah tiang elektrik dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayatnya kini berada di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN










