Penunggang maut tersepit pada tayar treler

Penunggang maut tersepit pada tayar treler

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang penunggang motosikal maut akibat tersepit pada tayar sebuah treler selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 31.2 Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Pandan Indah, Ampang, dekat sini hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kejadian pada pukul 9.55 pagi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu masing-masing sebuah motosikal jenis Yamaha LC135, kereta Toyota Yaris dan treler.

“Berdasarkan maklumat, kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang lelaki berusia 30-an terlanggar kereta sebelum tercampak ke bawah treler dan tersepit antara tayar treler berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, anggota bomba yang menjalankan kerja penyelamatan berjaya mengeluarkan mangsa dan diserahkan kepada pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan.

“Mangsa disahkan sudah meninggal dunia di lokasi kejadian,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN