KANGAR: Seorang penjawat awam berpangkat penolong akauntan gred W32 didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 13 pertuduhan menyalahgunakan harta kerajaan negeri melibatkan wang berjumlah RM81,585.04.
Mohd Reimi Ismail,45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sesyen Norsalha Hamzah.
Mengikut pertuduhan, Mohd Reimi didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta wang kepunyaan kerajaan negeri berjumlah RM81,585.04 antara Jun 2018 sehingga September 2019.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bank CIMB, Maybank dan Bank Simpanan Nasional (BSN) cawangan Kangar dalam tempoh berkenaan.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dalam tempoh tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih lima tahun, dengan sebatan serta denda bagi setiap pertuduhan tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Atiqah Mohamad Alias manakala tertuduh diwakili peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.
Sewaktu prosiding, pihak pendakwaan memohon agar mahkamah mengenakan jaminan berjumlah RM50,000 yang dianggap munasabah bagi memastikan kehadiran tertuduh bersama syarat tambahan di mana passport antarabangsa miliknya juga diserahkan selain perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM pada setiap bulan.
Peguam tertuduh bagaimanapun memohon agar anak guamnya dikenakan kadar jaminan minima memandangkan perlu menanggung anak yang masih belajar malah bapanya juga mengidap pelbagai komplikasi penyakit.
Selain itu, peguam tertuduh juga memohon agar kadar jaminan dikenakan itu juga bukannya berbentuk pra hukuman malah anak guamnya juga hanya mempunyai wang sebanyak RM15,000.
Mahkamah kemudiannya menetapkan tertuduh dikenakan jaminan berjumlah RM30,000 dengan seorang penjamin bersama syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM pada setiap bulan dan menyerahkan passport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes diselesaikan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Ogos depan bagi prosedur penyerahan dokumen. Tertuduh turut membayar wang jaminan tersebut.-UTUSAN










