DUNGUN: Seorang peniaga kedai kotak di Kampung Pak Sabah, dekat sini, berdepan detik cemas apabila disamun oleh dua lelaki dan seorang wanita, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam, Mustafa Abdullah, 64, yang tidak mengalami sebarang kecederaan, turut ditutup mata dan diikat serta diacu objek tajam dipercayai pisau, di belakang badannya.
Warga emas itu berkata, dia tidak menyangka kejadian tersebut berlaku pada hari kedua premisnya dibuka selepas berpindah dari lokasi lain di sini.
Menceritakan detik cemasnya, Mustafa berkata, dia berseorangan yang baru selesai berniaga dan sedang mengemas barang secara tiba-tiba didatangi tiga individu yang tidak dikenalinya.
“Salah seorang lelaki mengacukan pisau di belakang badan saya dan kemudiannya mengikat tangan saya menggunakan kabel tie dan mata saya turut ditutup dengan kain. Bila saya beritahu tangan sakit, mereka tukar, ikat tangan saya menggunakan rantai besi.
“Kemudiannya, mereka geledah kedai saya dan mencuri duit serta barang-barang perniagaan saya termasuk televisyen, rokok, enjin generator dan alat pertukangan yang saya anggarkan kerugian hampir RM5,000,” katanya ketika ditemui di premisnya, di sini, hari ini.
Mustafa berkata, selain barangan, telefon bimbit dan kereta kancil miliknya turut dilarikan penjenayah tersebut.
“Lepas berjaya melepaskan diri daripada ikatan, saya minta tolong orang dan kemudiannya buat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun, malam tersebut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, tiga suspek tersebut berusia lingkungan 30 hingga 60 tahun itu berjaya diberkas kira-kira pukul 6 pagi, kurang tujuh jam selepas insiden tersebut.
“Ketiga-tiga suspek ditahan di sekitar bandar ini iaitu suspek wanita ditahan di tepi jalan manakala dia lagi suspek lelaki ditahan dalam sebuah rumah,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










