BAGAN SERAI: Lebih 150 penduduk menunaikan solat istisqa’ secara berjemaah untuk memohon hujan berikutan cuaca panas menyebabkan paras air di Tasik Bukit Merah di sini surut.
Solat sunat itu dilakukan di tepi tasik tersebut yang turut disertai Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Ketua Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.
Razman berkata, paras air di tasik itu surut kritikal dan sekiranya keadaan tersebut berterusan, ia akan mengganggu pengairan sawah padi dan kegunaan harian penduduk di Kerian.
Menurutnya, paras penyusutan air di empangan itu kali ini lebih kritikal berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Mungkin sudah hampir dua bulan tiada hujan di kawasan tasik ini, kalau ada pun hujan sekejap sahaja. Ini menyebabkan air tasik surut hingga ke paras kritikal dan mencatat paras paling rendah yang pernah berlaku.
“Solat sunat yang kita lakukan ini adalah sunnah Nabi Muhammad SAW, ketika hujan tidak turun dalam tempoh yang lama, baginda melakukan solat istisqa’, solat mohon hujan,” katanya.
Menurut Razman, antara yang paling terjejas adalah pesawah kerana ketiadaan bekalan air pengairan untuk tanaman padi.
“Pada masa itu, sebahagian besar pesawah baru memulakan tanaman padi dan usia tanaman mereka dalam lingkungan lapan hingga 10 hari. Sudah tentu tanaman mereka berisiko rosak kerana tiada air,” katanya. – UTUSAN







