KULIM: Lebih 3,000 penduduk dari lima buah kampung di Mukim Bagan Sena di sini, sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berkaitan ekoran gangguan haiwan liar terutama kera, babi hutan dan anjing di kawasan mereka.
Akibat tiada tindakan susulan daripada agensi terlibat, penduduk terpaksa mengambil tindakan sendiri untuk mengurangkan gangguan itu termasuk meletakkan racun terhadap makanan yang dimakan haiwan terbabit.
Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) Kampung Padang Ubi/Padang Patong, Inche Borhan Ahmad, 57, berkata, tiga lagi kampung yang turut mengalami gangguan itu adalah Kampung Bikan, Bikan Atas dan Kampung Petani.
“Masalah kera, babi hutan dan anjing yang banyak ini sudah setahun setengah berlaku sehingga mengganggu ketenteraman penduduk. Saya juga sudah menerima surat daripada pejabat daerah mengenai aduan penduduk dan sehingga kini kami masih menunggu tindakan agensi berkaitan.
“Sebelum ini, penduduk menggunakan pelbagai kaedah antaranya meletakkan sangkar dan mercun bagi menghalau haiwan-haiwan liar ini, namun kurang memberi kesan dan kejadian penggunaan racun ini pertama kali berlaku di kampung ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kelmarin, dua beradik, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, dan Muhammad Luth Syauqi, 2, disedari dalam keadaan mulut berbuih dan muntah di atas katil rumah mereka di Kampung Padang Ubi selepas makan keropok bercampur racun tikus.
Sementara itu, seorang penduduk, Fazil Bidin, 54, berkata, banyak buah seperti cempedak dirosakkan monyet, selain haiwan itu juga didapati mematahkan pelepah pokok kelapa sawit.
“Sayang tengok buah cempedak yang sudah masak dirosakkan monyet, boleh dikatakan ancaman monyet ini sukar dikawal dan kita bimbang ia akan menjadi lebih serius,” katanya.
Penduduk, Suhaila Sahat, 47, pula berkata, pernah berlaku seorang kanak-kanak perempuan diserang monyet dengan haiwan liar itu cuba menggigit bahagian kaki.
“Nasib baik dia tidak mengalami kecederaan kerana memakai kasut ketika itu,” ujarnya. – UTUSAN











