SHAH ALAM: Kebolehpasaran graduan dalam dunia pekerjaan mencecah 89.4 peratus menjadi pencapaian terbesar Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejak 25 tahun ia diiktiraf sebagai sebuah universiti.
Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, ia menjadi tanggungjawab universiti untuk memastikan graduan mendapat kerja di pelbagai sektor.
“Selain kedudukan UiTM dalam ranking QS World University Rankings adalah lebih penting untuk memastikan seramai mungkin graduan mendapat pekerjaan.
“Kami mahu melahirkan graduan yang berkualiti dan mempunyai daya saing tinggi mampu berdepa cabaran dalam dunia pekerjaan,” katanya selepas selepas menghadiri majlis Kayuhan Kapsul 25 Tahun Rentas Cawangan UiTM, hari ini.
Menerusi program tersebut, warga UiTM terlibat mengambil inisiatif mengayuh basikal dari kampus ke kampus di seluruh semenanjung dan singgah ke UiTM Kampus Puncak Alam.
Dalam perjalanan terakhir ke kampus induk, rombongan tersebut turut disertai Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mencemar duli menyertai kayuhan ke UiTM Shah Alam.
Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Shahrin Sahib memberitahu, UiTM akan terus memantapkan semua program pengajian yang ditawarkannya sebagai salah satu usaha memperkasakan universiti.
Jelasnya, program pengajian perhotelan, komunikasi, undang-undang dan perubatan yang ditawarkan UiTM mendapat pengiktirafan badan tempatan dan antarabangsa, lantas menjadikan universiti tersebut sama hebat dengan beberapa universiti tempatan lain.
“Tujuan UiTM memasuki penarafan QS World University Rankings adalah sekadar untuk mengukur keupayaan dan kedudukan UiTM di mata dunia.
“Daripada kedudukan ranking tersebut, kami akan buat kajian bagaimana untuk menambah baik program pengajian yang ditawarkan supaya lebih ramai pelajar lepasan sekolah berminat menyambung pengajian ke UiTM,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, Mohd. Shahrin menzahirkan penghargaan terhadap Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana sudi mencemar duli bagi menyertai program berkenaan.
Ujarnya, program tersebut merupakan salah satu usaha pihak universiti untuk memartabatkan lagi UiTM di peringkat antarabangsa.
“Kami turut mengumpul sebanyak mungkin kertas nota, iaitu aspirasi serta harapan sebahagian besar warga kerja UiTM untuk universiti ini dalam tempoh 25 tahun akan datang.
“Kesemua kertas nota ini dimasukkan ke dalam kapsul dan kapsul tersebut akan ditanam di dalam monumen pada 24 Ogos nanti, iaitu pada hari sambutan ulangtahun ke-25 UiTM diiktiraf sebagai sebuah universiti,” jelasnya. – UTUSAN










