KUANTAN: Bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Tan Sri Dr. Siti Zaharah Sulaiman yang meninggal dunia di Hospital Serdang, Selangor pukul 11.23 malam tadi disifatkan sebagai kehilangan besar bukan sahaja buat negara malah negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Allahyarhamah sebelum ini adalah bekas menteri, Ketua Wanita UMNO dan Ahli Parlimen Paya Besar.
“Pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar kepada negara, negeri dan juga UMNO kerana banyak jasa dicurahkan sepanjang hayatnya.
“Semoga roh Allahyarham Tan Sri dicucuri rahmat Allah SWT, diampunkan segala dosa serta ditempatkan bersama-sama orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya di sini semalam.
Siti Zaharah, 75, disahkan meninggal dunia oleh anak sulungnya, Timoer Dzakry Samarudin pukul 11.23 malam semalam.
Siti Zaharah yang juga Pengerusi Institut Kemajuan Wanita Malaysia (IKWAM) dilahirkan pada 24 April 1949 dan pernah memegang beberapa jawatan penting dalam kerajaan antaranya Timbalan Perancangan, Dewan Bahasa dan Pustaka (1980-1986), Timbalan Menteri, Jabatan Perdana Menteri (1986), Timbalan Menteri Kesihatan (1995-1999) dan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat (1999-2004).
Dalam politik, Allahyarham pernah memegang jawatan Ketua Wanita UMNO Pahang, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ahli Parlimen Mentakab, Ahli Parlimen Paya Besar dan Ketua Wanita UMNO.
Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd. Shahar Abdullah menyifatkan Siti Zaharah pemimpin yang begitu komited terutama membangunkan kawasan Paya Besar.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Paya Besar berkata, bekas Ketua Wanita UMNO turut berpesan supaya menjaga parti dan berkhidmat kepada rakyat.
“Arwah pemimpin yang komited dan bersungguh-sungguh bekerja membangunkan Paya Besar. Ketika menziarah arwah di hospital, banyak pesanan kepada saya supaya menjaga parti dan terus berkhidmat untuk rakyat,” katanya.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Samsuddin turut berkongsi berita sedih itu di laman Facebooknya.
“Tan Sri Dr. Siti Zaharah Sulaiman baru sahaja dijemput menemui penciptanya. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman.
“Banyak arwah titipkan nasihat dan pesanan kepada saya selama ini. Pastinya akan saya simpan kemas dalam hati sebagai azimat dan panduan,” katanya. – UTUSAN










