PUTRAJAYA: Seorang bekas tukang gunting rambut kekal menjalani hukuman gantung kerana membunuh anak asuhan isterinya berusia 11 bulan dikenali sebagai ‘Baby Zara’ yang turut mengalami kecederaan seksual, enam tahun lalu.
Mangsa, Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal yang ketika itu belum tumbuh gigi dengan berat badan hanya 8.26 kilogram turut mengalami pendarahan serius pada keseluruhan otaknya.
Laporan bedah siasat turut menunjukkan kecederaan vagina bayi berkenaan sangat serius sehingga doktor terpaksa menjahit luka dengan dua jahitan bagi menghentikan pendarahan.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak rayuan akhir Hazmi Majid, 42, terhadap sabitan dan hukuman mati yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 20 Ogos 2021 dan disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 1 Mac 2023.
Hakim Datuk Rhodzariah Bujang yang bersidang bersama-sama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera berpuas hati sabitan selamat untuk dikekalkan manakala hukuman yang sesuai dijatuhkan adalah hukuman mati kerana jenayah yang dilakukan sangat kejam.
Hazmi disabitkan membunuh Nur Muazara Ulfa di sebuah unit di Pangsapuri Sri Cempaka, Jalan 6/3, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, antara pukul 10.30 pagi dan 1.30 tengah hari, pada 7 November 2018.
Terdahulu, peguam T. Vijay yang mewakili perayu berhujah, anak guamnya tidak sedar perbuatan tersebut kerana di bawah pengaruh dadah selain memohon lelaki itu dikenakan hukuman penjara 30 tahun jika mahkamah mengetepikan hukuman mati.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi berhujah, rayuan bahawa Hazmi di bawah pengaruh dadah wajar ditolak berdasarkan tindakannya cuba melupuskan bahan bukti dengan membasuh tuala bagi menghilangkan darah menunjukkan dia sedar ketika kejadian berlaku.
Pendakwaan turut berhujah, kes berkenaan menepati kehendak ‘kes yang paling jarang di antara yang jarang berlaku’ yang mewajarkan hukuman mati dikekalkan.
“Mangsa dihantar ibunya ke rumah pengasuh pada hari kejadian pukul 6.45 pagi dan nazak pukul 1.30 tengah hari.
“Bayi itu hanya seberat 8.26 kilogram, gigi pun belum tumbuh manakala pendarahan teruk pada otak menyebabkan peluangnya untuk hidup amat tipis,’’ hujah Tetralina.
Beliau turut berkata, keterangan pendakwaan menyatakan perayu tidak pernah membantu isterinya menguruskan kanak-kanak namun pada hari tersebut dia menawarkan diri memandikan ‘Baby Zara’.
Media sebelum ini melaporkan bayi itu meninggal dunia selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang, Selangor, dipercayai akibat penderaan fizikal dan seksual oleh suami pengasuh bayi tersebut.
Ibu mangsa sebelum ini dimaklumkan bahawa bayi itu dihantar ke hospital oleh pasangan terbabit yang mendakwa kanak-kanak itu tercekik buah epal.
Selain kes bunuh, Hazmi turut dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam atas dua kesalahan iaitu memasukkan jari ke dalam kemaluan dan dubur bayi itu selepas rayuannya dibenarkan. – UTUSAN










