Pemandu Myvi bawa kereta melulu ditahan bersama dadah

Pemandu Myvi bawa kereta melulu ditahan bersama dadah

TANGKAP layar yang diambil daripada satu rakaman video menunjukkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi (dalam bulatan merah) yang dipandu secara melulu dan berbahaya di Jalan Batu Ferringhi, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang lelaki tempatan ditahan selepas memandu secara melulu dan berbahaya hingga mengakibatkan kemalangan di Jalan Batu Ferringhi di sini, kira-kira pukul 6.40 petang semalam.

Selain menahan lelaki berusia 30 tahun itu, polis turut menjumpai dadah jenis ganja dan syabu dalam kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu suspek.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid berkata, pihaknya terkesan dengan beberapa klip video tular di media sosial yang memaparkan kereta berwarna biru itu dipandu secara melulu dan berbahaya di Jalan Batu Ferringhi menghala ke Teluk Bahang.

Katanya, akibat daripada perbuatan tidak bertanggungjawab pemandu berkenaan, berlaku satu kemalangan jalan raya yang turut melibatkan beberapa buah kenderaan lain.

“Dalam video tersebut, anggota polis dan beberapa orang awam dilihat cuba mengarahkan agar kereta yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan untuk berhenti, namun, pemandu berkenaan enggan memberhentikan kenderaannya.

“Polis kemudiannya berjaya menangkap suspek dan hasil pemeriksaan menjumpai bahan-bahan disyaki dadah jenis ganja dan syabu di dalam beg silang milik suspek,” katanya di sini, hari ini.

RAZLAM AB. HAMID

Menurut Razlam, semakan polis mendapati, suspek memiliki satu rekod tangkapan bersangkut kes jenayah lampau dan dua rekod tangkapan berkaitan dadah.

“Hasil ujian saringan awal air kencing pula mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Kes seterusnya disiasat di bawah Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihak polis turut menjalankan siasatan selari ke atas suspek di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Suspek juga ditahan reman bagi tujuan siasatan. Dalam hala ini, polis mengucapkan terima kasih atas keprihatinan orang ramai yang turut membantu kami menangkap suspek dalam kejadian ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×