KULIM: Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes kematian dua beradik termakan keropok dicampur racun tikus disambung reman selama dua hari bermula hari ini.
Perintah reman ke atas suspek berusia 33 tahun yang juga seorang pekebun itu dibenarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Mirza Mohamad.
Siasatan ke atas suspek dilakukan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan kerana kelakuan cuai berkenaan benda beracun.
Terdahulu, suspek tiba di Kompleks Mahkamah Kulim, di sini kira-kira pukul 8 pagi dengan berpakaian lokap sambil dikawal anggota polis.
Sementara itu, peguam bela, Shazril Khairy Mustafa ketika prosiding membantah permintaan pihak polis yang mahukan tambahan tahanan reman selama tujuh hari.
“Anak guam kami sudah direman enam hari sejak Khamis lalu. Jadi kami bantah kerana tidak adil bagi anak guam kami diberi satu tempoh yang amat panjang. Maka mahkamah benarkan ditambah dua hari sahaja.
“Siasatan masih lagi di peringkat rakaman percakapan dan saya lihat dari segi penyediaan kertas untuk pendakwaan, mungkin hari Khamis ini anak guam kami sama ada dilepaskan atau didakwa,” katanya ketika ditemui,hari ini.
Dalam kejadian 7 Julai lalu, dua beradik iaitu Muhammad Aqil Syauqi Nur Sufyan, 3, dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, kritikal selepas termakan keropok yang dicampur racun.
Makanan ringan itu digunakan untuk memerangkap monyet yang didakwa penduduk mengganggu ketenteraman mereka selain merosakkan tanaman di Kampung Padang Ubi.
Setelah empat hari dirawat, Muhammad Aqil Syauqi menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 8.30 pagi, Rabu lalu sebelum adiknya meninggal dunia pada pukul 1.20 tengah hari, dua hari kemudian. -UTUSAN











