KULIM: Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes kematian dua beradik termakan keropok dicampur racun tikus dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Azizul Mohd. Khairi berkata, suspek berusia 33 tahun itu dibebaskan sementara menunggu keputusan Timbalan Pendakwa Raya.
“Kertas siasatan sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan kita tunggu tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Suspek yang merupakan pekebun direman selama enam hari sejak Khamis lalu sebelum disambung dua hari lagi bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.
Dia disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan kerana kelakuan cuai berkenaan benda beracun.
Dalam kejadian 7 Julai lalu, dua beradik iaitu Muhammad Aqil Syauqi Nur Sufyan, 3, dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, kritikal selepas termakan keropok yang dicampur serbuk racun tikus.
Makanan ringan itu digunakan untuk memerangkap monyet yang didakwa penduduk mengganggu ketenteraman mereka selain merosakkan tanaman di Kampung Padang Ubi, Labu Besar di sini.
Setelah empat hari dirawat, Muhammad Aqil Syauqi menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 8.30 pagi, Rabu lalu sebelum adiknya meninggal dunia pada pukul 1.20 tengah hari, dua hari kemudian. -UTUSAN










