KUALA LUMPUR: Genap sebulan dilantik mewakili warga Israel, Avitan Shalom, peguam bela, Datuk Naran Singh memaklumkan Mahkamah Sesyen di sini, semalam beliau menarik diri daripada mewakilinya.
Peguam terbabit tidak memberikan sebarang alasan spesifik kecuali menyatakan ‘menarik diri atas alasan peribadi.’
Difahamkan, peguam bela, Navinjit Singh juga menarik diri atas alasan yang tidak diketahui.
Ketika ini Shalom diwakili peguam, Jeffrey Ooi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam memaklumkan Hakim Norina Zainol Abidin bahawa representasi dihantar ke Jabatan Peguam Negara oleh Shalom pada 8 Julai lalu ditolak.
Perbicaraan yang ditetapkan sembilan hari bermula 30 September ini berjalan seperti dijadualkan. Tarikh-tarikh lain ialah 1 hingga 3 Oktober yang kemudian bersambung pada 7 hingga 11 Oktober.
Pada 21 Mei lalu, pihak pendakwaan memaklumkan pihaknya akan memanggil 20 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan terbabit.
Mahkamah semalam turut menetapkan 2 September ini untuk sebutan semula kes selepas pendakwaan memaklumkan masih terdapat beberapa dokumen yang belum dapat diserahkan kepada pembelaan.
Ia adalah laporan litar kamera tertutup (CCTV) dan analisis laporan forensik.
Tertuduh, Shalom, 38, yang memasuki negara ini menggunakan kerakyatan Perancis didakwa memperdagang enam jenis pistol antara pukul 6.46 petang, 26 Mac lalu dan 6 petang, 28 Mac lalu di sebuah bilik hotel di Jalan Ampang di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sebat tidak kurang enam kali.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, tertuduh didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm (8 peluru), dan tiga kotak Bullet Master Co Ltd (150 peluru) dan 42 peluru dalam tiga senjata berasingan.
Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-dua sekali. – UTUSAN









