KUALA LUMPUR: Peguam dan aktivis, Muhammad Rafique Rashid Ali hadir ke Bukit Aman untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berkaitan ucapannya ketika himpunan ‘Demo Rakyat Lawan Anwar’ di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, pada 29 Jun lalu.
Muhammad Rafique berkata, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar menghubunginya berkaitan satu laporan polis dan diminta hadir ke Bukit Aman untuk dirakam keterangan, hari ini.
“Tiga anggota polis dari IPD Kangar mengambil keterangan saya selama 45 minit bermula pukul 12 tengah hari di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Saya ditanya kira-kira 12 hingga 13 soalan ketika proses terbabit dan memberikan kerjasama yang baik kepada polis,” katanya kepada pemberita di hadapan Ibu pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
Terdahulu, Muhammad Rafique dilihat tiba di Bukit Aman kira-kira pukul 10 pagi.
Muhammad Rafique berkata, polis turut merampas telefon bimbitnya dipercayai bagi membantu siasatan.
“Saya telah beri segala maklumat, tiada masalah telefon bimbit itu dirampas. Difahamkan, saya kini disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan,” katanya.
Muhammad Rafique berkata, sebelum ini, seramai 12 individu termasuk penganjur himpunan itu tampil ke IPD Putrajaya bagi membantu siasatan.
“Saya juga telah dipanggil (untuk dirakam keterangan) dan memberi kerjasama di IPD Putrajaya,” ujarnya.
Pada 30 Jun lalu, media melaporkan seramai 12 individu termasuk penganjur akan dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung himpunan itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa dilaporkan berkata, kesemua individu yang telah dikenal pasti itu akan dipanggil dalam masa terdekat.
Polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012. – UTUSAN










