KUALA LUMPUR: Seramai 10 pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di pejabat Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) di Jalan Beringin di sini.
Lima pegawai yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita itu tiba pada pukul 11.30 pagi menaiki kenderaan berasingan.
Sejurus selepas itu, lima lagi individu dipercayai pegawai penyiasat tiba di pejabat berkenaan pada pukul 12.20 tengah hari.
Difahamkan, kehadiran semua pegawai penyiasat itu bagi mengambil dokumen berkaitan isu kegagalan syarikat kerajaan itu berdasarkan pendedahan laporan audit minggu lalu.
Sabtu lalu, SPRM mengesahkan menerima laporan audit dikemukakan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), Datuk Seri Khairul Dzaimee.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dilaporkan berkata, berasaskan laporan audit tersebut, pihaknya mengenal pasti beberapa isu yang memerlukan dokumen dan keterangan daripada pihak yang terlibat.
“Antaranya isu pelaburan, pengurusan dana dan latihan, pembelian harta dan sebagainya. Oleh itu, satu pasukan khas telah dibentuk dan beberapa kertas siasatan telah dibuka.
Katanya, beberapa individu telah dikenal pasti dan akan diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Siasatan akan dijalankan dibawah Akta SPRM 2009 dan kesalahan di bawah Seksyen 18 dan 23 Akta ASPRM 2009.
Khamis lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.
Berikutan itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, Khairul Dzaimee dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood membuat laporan kepada SPRM selaras dengan syor Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi di dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2024 dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Steven menegaskan kementeriannya tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang bertentangan dengan undang-undang. – UTUSAN










