PETALING JAYA: Pasukan Malaysia berjaya muncul sebagai johan keseluruhan dalam Kejohanan Catur Jemputan Antarabangsa Asian Dragons di Taipei apabila menjuarai kedua-dua kategori yang dipertandingkan.
Dalam pertandingan itu, wakil Malaysia bagi kategori bawah 16 tahun, Haziq Nasruddin, berjaya mengutip mata keseluruhan tertinggi sebanyak 8.5 mata setelah menumpaskan pemain tuan rumah, Pu Yu pada pusingan ke-9 sekaligus mengesahkan kejuaraan mutlak milik Malaysia.
Bagi kategori terbuka pula menyaksikan perlawanan pada pusingan akhir yang cukup mendebarkan apabila pemain Malaysia, Iwan Schani Ibnu terpaksa berhempas pulas sebelum bergelar johan dengan menumpaskan lawannya, Jerry Chang dari Amerika Syarikat.
Kejohanan tahunan yang dianjurkan oleh Chinese Taipei Chess Association (CTCA) itu menyaksikan penglibatan 34 peserta dari Macau, Hong Kong, Korea Selatan, Malaysia, Amerika Syarikat dan tuan rumah, Taiwan.
Ketua Delegasi Pasukan Catur Malaysia, Noor Hafiz Mohd. Nor berkata, prestasi cemerlang Malaysia itu disumbang oleh pengenalan sulung sukan catur di Sukan Malaysia (SUKMA) yang bakal berlangsung pada Ogos ini.
“Kemenangan ini turut dilihat penting sebagai persiapan ke Kejohanan FIDE World Amateur Chess Championships yang akan dianjurkan pada Oktober di Greece,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas sokongan pelbagai pihak yang telah banyak membantu persiapan bagi kejohanan itu khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Luar, dan Persekutuan Catur Malaysia (MCF)
“Terima kasih juga saya ucapkan kepada Pertubuhan Pemerkasaan Komuniti Malaysia (MPOWER), Kementerian Komunikasi (KK) dan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN),” jelasnya.-UTUSAN











