HULU TERENGGANU: Sepasang suami isteri warga emas di Kampung Kuala Dura, dekat sini masih gigih mengusahakan perniagaan ubatan herba tradisional Melayu sebagai rawatan alternatif.
Menurut Yusof Mat Tahir, 73, dia dan isterinya, Halimah Deraman, 66, terus melakukannya bagi memenuhi permintaan pelanggan yang mempunyai masalah kesihatan.
Katanya, pelbagai jenis ubatan tradisional dijual ketika ini antaranya akar meriam seribu, mengkuang hutan serta paling mendapat permintaan iaitu batang ubi gegeli kering yang telah siap diproses.
“Khasiat ubatan tradisional Melayu ini saya peroleh daripada orang lama dan merasakan ia suatu yang baik untuk dikongsikan. Saya berkecimpung lebih serius dalam bidang penyediaan ubatan tradisional ini kira-kira lima tahun lalu.
“Pengalaman keluar masuk hutan sewaktu bekerja ketika muda dulu juga banyak membantu memudahkan kerja-kerja mencari pokok herba.
“Biasanya saya ditemani ahli keluarga lelaki dapatkan pokok herba tersebut. Sampai di rumah barulah isteri bantu proses seterusnya, kaedah penyediaan agak rumit serta memakan masa hingga lebih dua minggu untuk disiapkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Tambah datuk 19 cucu ini, proses penyediaan ubi gegeli misalnya dimulakan dengan membuang duri, membasuh serta membersihkan batang sebelum dipotong nipis, dijemur dan disalai.
“Batang yang telah siap dihiris menjadi kepingan nipis akan dijemur sehingga kering selama seminggu dan kemudiannya disalai pula bagi tempoh sama bagi memastikan ia lebih tahan lama.
“Setiap sebungkus batang ubi gegeli siap diproses kering dijual RM20. Kebanyakan pelanggan datang beli di rumah tetapi ada juga yang dihantar secara pos,” ujarnya.
Yusof yang lebih mesra dipanggil Pok Usop berkata, selagi kudratnya mengizinkan dan mendapat permintaan, dia akan teruskan usaha mengeluarkan ubatan herba tradisional itu yang tidak boleh dinafikan punyai manfaat serta khasiat tersendiri. – UTUSAN











