Pas Selangor selar tindakan normalisasi arak di sekolah - Utusan Malaysia

Pas Selangor selar tindakan normalisasi arak di sekolah

Arak sekolah
TULAR gambar Aiman Athirah Sabu (tengah) bersama tetamu pada satu majlis konsert amal yang dikatakan ditaja oleh syarikat arak dekat SJK(C) Tche Min, Sungai Pelek di Sepang, Selangor, baru-baru ini. - Gambar Facebook Ahli Majlis Daerah Sepang, Cheong Wai Shon
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pimpinan politik dalam kerajaan sewajarnya meneliti terlebih dahulu sebarang bentuk penajaan kepada sekolah-sekolah terutama daripada pihak yang bukan mesra keluarga seperti syarikat arak dan judi.

Malah, hal sedemikian juga tidak sepatutnya dinormalisasikan dalam institusi pendidikan walaupun melibatkan sumbangan untuk pembinaan atau pembangunan fasiliti sekolah.

Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, pihaknya kesal dengan tindakan Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu apabila bersama pimpinan kerajaan yang lain menerima cek berlogo jenama arak dekat sebuah sekolah di Sungai Pelek, Sepang.

“Baru-baru ini, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Tche Min menganjurkan konsert amal untuk mengumpulkan dana bagi membina dewan baharu sekolah tersebut. Benar, ada yang berhati mulia sanggup menyumbangkan separuh gaji untuk menyokong tersebut.

“Memalukan, tindakan Aiman Athirah yang berdiri di atas pentas sambil tersenyum memegang replika cek yang terpampang logo arak jenama terkenal sungguh mendukacitakan. Adakah ini Islam ‘rahmatan lil alamin’ yang mahu diperjuangkan Parti Amanah Negara (Amanah)?,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Tambahnya, usaha murni sumbangan bagi pembinaan dewan sekolah itu dicemari penajaan syarikat gergasi arak yang secara terang-terangan sedang menormalisasi arak di sekolah.

“Mengapa pihak sekolah tidak sensitif terhadap perkara ini? Bahkan kelihatan juga pemimpin-pemimpin kerajaan hadir memberikan sokongan. Lebih mengejutkan kehadiran seorang pemimpin Amanah dalam program tersebut,” selarnya.

Dalam pada itu, Mohamed Sukri turut mempersoalkan pendirian Amanah dalam memperjuangkan dan menjaga kesucian Islam yang dianggap semakin terancam dengan sikap liberalisasi bertopengkan Islam.

“Apakah tugas Amanah dalam komponen Pakatan Harapan? Mungkin sekadar barua yang hanya mengikut cakap tuan sahaja.

“Usaha pihak sekolah menganjurkan program amal bagi mengumpulkan dana untuk memperbaiki prasarana sekolah merupakan suatu ikhtiar yang patut dipuji. Namun, janganlah terlalu terdesak sehingga mencemarkan program-program tersebut dengan anasir-anasir yang bakal merosakkan masa hadapan anak-anak kita,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN