Parlimen Tanjong Karang, Sungai Besar mungkin hilang - Noh - Utusan Malaysia

Parlimen Tanjong Karang, Sungai Besar mungkin hilang – Noh

Parlimen hilang
NOH Omar dan Nurul Syazwani Noh bersama bekas kepimpinan muda UMNO yang menyertai Parti Bersatu pada Himpunan Rakyat Lawan Hipokrasi dekat Tanjong Karang, di Kuala Selangor, malam tadi. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Parlimen Tanjong Karang dan Sungai Besar di Selangor berisiko ‘hilang’ jika persempadanan semula kawasan dilaksanakan berdasarkan jumlah 100,000 pengundi.

Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, perkara itu tidak mustahil berlaku berikutan jumlah pengundi bagi kedua-dua Parlimen itu tidak melebihi 100,000 orang.

“Kalau mereka (Pakatan Harapan) mengguna pakai formula satu Parlimen pengundi minimum 100,000, bermakna Sungai Besar dan Sabak Bernam akan dijadikan satu.

“Sebab kalau kedua-dua Parlimen ini digabungkan, ia baru hanya ada 100,000 pengundi,” katanya ketika ditemui pada program Himpunan Rakyat Lawan Hipokrasi, malam tadi.

Jelas beliau, selain Sungai Besar, beliau menjangkakan Parlimen Tanjong Karang turut menerima nasib sama sekiranya persempadanan itu dibuat.

“Saya cukup bimbang Parlimen Tanjong Karang juga terlibat sebab pengundi hanya ada 60,000 pengundi sahaja. Tidak mustahil Parlimen ini ditutup dan diletak di bawah Parlimen Kuala Selangor,” ujarnya.

Malah, dakwanya langkah itu juga dijangka memberi kelebihan kerusi kepada PH di kawasan bandar yang majoritinya mempunyai sehingga 300,000 pengundi.

“Saya yakin persempadanan pilihan raya akan menambah kerusi di bandar dan keadaan ini memberi kesan kepada politik kaum Melayu,” jelasnya.

Dalam pada itu, seramai 70 ahli UMNO Bahagian Tanjong Karang bertindak keluar parti dan menyatakan sokongan kepada Bersatu.

Ketua Penaja Bersatu Bahagian Tanjong Karang, Nurul Syazwani Noh berkata, pihaknya amat mengalukan rakan terutama daripada UMNO untuk menyokong parti tersebut.

“Kita berharap rakyat terutama anak muda meneruskan perjuangan bersama parti yang boleh menggantikan UMNO dalam memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air (ABATA).

“Sehingga kini, kami sudah membuka 30 cawangan Bersatu termasuk lima yang masih dalam proses pendaftaran sekaligus meningkatkan lagi jumlah ahli Bersatu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN