KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbang satu model Ombudsman Malaysia yang menggabungkan Biro Pengaduan Awam dengan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan.
Timbalan Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, kerajaan komited menubuhkan Ombudsman Malaysia sebagai badan bebas yang menerima dan menguruskan aduan berkaitan sistem penyampaian perkhidmatan awam persekutuan.
“Cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia telah dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Agenda Reformasi dan Undang-undang pada 29 April lalu dan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Mesyuarat itu memutuskan supaya sesi libat urus holistik dilaksanakan bagi tempoh tiga bulan untuk menentukan mekanisme penubuhan dan pelaksanaan Ombudsman Malaysia. Keputusan ini turut dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 12 Jun lepas.
“Kini proses pelantikan ahli jawatankuasa dari setiap agensi yang terlibat bagi sesi libat urus holistik sedang berjalan. Sesi ini penting bagi memastikan pandangan semua pihak berkepentingan diambil kira dalam proses penubuhan Ombudsman Malaysia,” katanya dalam sesi pertanyaan jawab lisan semasa sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang ingin tahu pelan terkini menggubal Akta Ombudsman Malaysia yang telus, berakauntabiliti dan cekap dalam sistem kerajaan.
Dalam pada itu, Kulasegaran berkata, kerajaan sedang dalam proses untuk menamakan pihak terlibat dalam ahli jawatan kuasa itu sebelum satu keputusan berkaitan pelantikan berkenaan perlu melalui jawatankuasa Parlimen itu dapat diputuskan.
“Saya berpandangan jawatankuasa ditubuhkan sedia ada itu boleh berbincang dengan pihak berkenaan supaya perkara itu dapat diperhalusi dan satu tindakan dapat dibuat,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Tarmizi berkaitan sama ada jawatankuasa Ombudsman perlu melalui jawatankuasa Parlimen atau sebaliknya. – UTUSAN










