KUALA LUMPUR: Negara sukar membangunkan industri penanaman buluh secara komersial kerana keluasan tanahnya walaupun kadar permintaan di peringkat global terus meningkat.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, negara memerlukan minimum keluasan tanah 2,000 hektar untuk menampung permintaan pasaran atau melaksana konsep penanaman komersial buluh.
“Industri buluh sangat besar di luar negara. Isu utama dalam membangunkan industri buluh negara adalah isu tanah. Kalau kita mahu satu konsep penanaman komersil, dia memerlukan minimum tanah 2,000 hektar.
“Jadi kita boleh dapat pengeluaran buluh yang mampan dan menyebabkan industri hiliran akan diwujudkan secara automatik,” katanya menjawab soalan tambahan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, industri buluh negara masih berada di skala kecil menyaksikan hanya RM13.7 bilion jumlah eksport diperoleh dalam tempoh 10 tahun lalu dengan RM20.7 juta dijana tahun lalu.
Jelas beliau, dari aspek industri sawit, negara memiliki 5.67 hektar tanah dan getah 1.1 juta hektar manakala buluh hanya 4,000 hektar menyaksikan jurang perbezaan yang sangat ketara.
“Sebab itu, kita masih mengimport buluh. Sebanyak 108 juta tahun lalu untuk industri hiliran. Untuk kraftangan, ada 528 syarikat, industri perabot ada tujuh syarikat, tekstil ada tiga syarikat dan dari sektor pembinaan ada 13 syarikat terlibat. Mereka ini terpaksa dibenarkan import,” katanya.
Menjawab soalan asal Bakri berhubung kemajuan dicapai oleh industri buluh negara sesuai dengan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2021 – 2030, katanya, kementerian melalui anak syarikat milik penuh MTIB iaitu Forest Plantation Development Sdn. Bhd. (FPDSB) sedang membangunkan Makmal Tisu Kultur dan Tapak Semaian dan Penyelidikan Buluh seluas 1.72 hektar di Lahat, Perak.
“Tujuannya meningkatkan kemampuan penghasilan anak benih buluh berkualiti. Fasiliti ini dijangka mampu menghasilkan 300,000 anak benih buluh setahun dalam satu-satu masa untuk menampung permintaan pembangunan ladang buluh di Malaysia.
“Sehingga kini, pembinaan tapak semaian ini telah siap sehingga 95 peratus dan pusat ini dijangka akan mula beroperasi pada bulan November tahun ini,” katanya.
Katanya, perdagangan eksport buluh dan produk berasaskan buluh pada tahun 2023 berjumlah RM20.1 juta berbanding pada tahun 2022 sebanyak RM13.7 juta.
Jelas, ini menunjukkan peningkatan 47.2 peratus daripada tahun sebelumnya menyaksikan produk buluh negara yang dieksport adalah produk kumai (moulding), buluh bulat (round bamboo), tanggam (builders joinery and carpentry), arang, papan lapis, perabot dan barangan buluh yang lain.
“Pada masa kini, terdapat sebanyak 577 pengusaha terlibat secara langsung dalam industri berasaskan buluh di Malaysia merangkumi industri papan buluh, perabot, pembinaan, tekstil, perladangan, makanan dan arang serta kraftangan,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai), Johari berkata, kerajaan negeri tidak banyak meluluskan pemberian tanah bagi tujuan penanaman buluh berbanding produk komoditi lain.
“Setiap kali kita mahu dapatkan tanah untuk buat komersial penanaman buluh ini, sukar untuk dapat tanah daripada kerajaan negeri. Itulah yang menyebabkan pengeluaran buluh dalam negara agak berkurangan.
“Kerajaan negeri paling nampak potensi (industri buluh) adalah Sarawak. Dia sudah memperuntukkan 3,379 hektar tanah untuk tanam buluh,” katanya. – UTUSAN










