PARLIMEN: Dewan Rakyat kecoh ‘DAP mahu tutup Kemas’

PARLIMEN: Dewan Rakyat kecoh ‘DAP mahu tutup Kemas’

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat petang ini kecoh lebih 10 minit berikutan kenyataan dibuat wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa DAP pernah mahu menutup Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Kenyataan itu dibangkitkan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) (Pindaan) 2024 bagi meminda Akta Audit 1957 (Akta 62) bacaan kali kedua di Parlimen.

Terdahulu, beliau mempersoal peruntukan ahli Parlimen diberikan kepada Kemas dan ketua-ketua bahagian parti kerajaan. 

“Saya minta supaya auditkan apa yang telah diberi…peruntukan itu diberi kepada siapa? Saya nak tahu. Saya dengar cerita beri kepada Kemas. Apa ada Kemas? Kemas dulu DAP nak tutup. Kami perjuangkan, pertahankan Kemas, sekarang Kemas nak hentam kami. Apa punya Kemas,” katanya. 

Susulan itu, Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) dan RSN Rayer (PH-Jelutong) meminta Shahidan menarik balik kenyataan tersebut. 

Shahidan kemudian menjelaskan kenyataan itu berkaitan ‘DAP anggota kerajaan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mahu menutup Kemas.”

Timbalan Speaker, Alice Lau Kiong kemudian meminta bukti berhubung kenyataan itu dan meminta Shahidan menariknya semula. 

Ahli Parlimen Arau kemudian menarik balik kenyataan awal itu, namun menambah ‘DAP dalam kerajaan PH terlibat dalam cuba menutup Kemas.”

Penjelasan itu kemudian menyaksikan beberapa wakil Parlimen kerajaan antaranya Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) dan Rayer bangun meminta bukti selepas menyifatkan tuduhan itu tidak berasas. 

Justeru, Alice Lau meminta Rayer membuat usul supaya Shahidan menunjuk bukti berkaitan kenyataan yang didakwa itu. 

“Kalau tidak dapat, kita akan hantar dia ke jawatankuasa hak dan kebebasan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN