Orang hebat bermula dari sekolah - Utusan Malaysia

Orang hebat bermula dari sekolah

Orang hebat
ZAINUREN Mohd. Nor meletakkan emblem Koko Krunch sebagai simbolik pelancaran kerjasama antara Nestlé Koko Krunch dengan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian KPM, di Petaling Jaya, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usaha melahirkan individu atau bakal pemimpin yang hebat tidak seharusnya bergantung kepada pembelajaran dalam bilik darjah semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan mereka terhadap aktiviti luar kelas.

Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan (KPM), Zainuren Mohd. Nor berkata, usaha melahirkan pelajar yang hebat harus bermula di peringkat sekolah dan dilatih sehingga ke peringkat lebih tinggi.

“Kita ada program-program galakan yang berlaku di peringkat sekolah kerana kalau kita hendak melahirkan orang yang hebat, ia mesti bermula dari sekolah, kalau banyak program di peringkat sekolah maka akan ada yang terbaik boleh jadi wakil peringkat sekolah.

“Kalau yang terbaik lagi, boleh jadi wakil negeri, kebangsaan. Di bawah saya ada Sekolah Seni Malaysia, sesiapa yang hebat dalam bidang seni, masuk Tingkatan 1 nanti boleh masuk sekolah seni,” katanya pada majlis pelancaran kerjasama antara Nestlé Koko Krunch dengan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian KPM.

Antara aktiviti dalam kerjasama tersebut adalah Pertandingan Seni Kraf Kolaj Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan yang disertai kira-kira 1,210 orang pelajar di peringkat zon tengah melibatkan sekolah rendah sekitar Lembah Klang.

Dalam pada itu, Zainuren yang menyelia bahagian sekolah seni memberitahu terdapat peluang-peluang luas disediakan di Sekolah Seni Malaysia dan mengalu-alukan kemasukan pelajar-pelajar berbakat untuk dikembangkan.

Menurutnya, kira-kira 90 peratus lepasan sekolah dalam bidang tersebut menyambung pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi seperti kolej universiti dan lima peratus menyertai industri secara profesional.

“Laluan selepas Sekolah Seni Malaysia sangat luas lima peratus jadi ahli seni yang profesional penari, penyanyi, pelakon dan sebagainya.90 peratus sambung belajar di universiti, kita ada laluan di universiti dan lima peratus lagi saya harap akan bekerja dalam bidang melibatkan kesenian.

“Bidangnya sangat luas, bukan sahaja menyanyi dan berlakon, kita ada jurutera lampu, jurutera visual dan sebagainya, peluang-peluang di belakang tabir, itu semua memerlukan tenaga kerja yang profesional,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN