JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menuntut Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat mengotakan janjinya membantu penduduk di kawasan berkenaan termasuk ahli-ahli UMNO bahagian.
Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, Suhaizan telah menjanjikan perkara itu semasa berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, tahun lalu.
Katanya, jentera UMNO khususnya Bahagian Pulai telah bekerja keras bagi membolehkan Suhaizan memenangi kerusi Parlimen berkenaan dengan majoriti undi lebih 18,000.
“Suhaizan yang merupakan calon Kerajaan Perpaduan daripada Parti Amanah Negara (Amanah) telah berjanji bahawa dia tidak akan mensia-siakan kemenangan di PRK berkenaan dan akan bantu ahli-ahli UMNO di sini.
“Jadi, sekarang dia sudah menjadi ahli Parlimen dan hari ini kita tuntut agar perkara itu dilaksanakan,” katanya disambut sorakan gemuruh daripada perwakilan yang hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pulai di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini, hari ini.
Tambah Onn Hafiz, perkara itu penting kerana jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) Pulai telah memainkan peranan signifikan dalam memastikan calon Pakatan Harapan (PH) itu memenangi kerusi berkenaan.
Sementara itu, Onn Hafiz juga menempelak beberapa pihak yang mempersoalkan kenyataan dibuat mana-mana pimpinan atau ahli UMNO ketika mesyuarat perwakilan bahagian yang sedang berlangsung di seluruh negara ketika ini.
“Jika tidak boleh bersuara di platform sendiri, di mana lagi ahli dan perwakilan kita ingin bersuara sedangkan pimpinan tertinggi parti yang minta kita suarakan sebarang isu dalam keluarga UMNO sendiri?” soalnya. – UTUSAN










