KUALA SELANGOR: Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar perlu membalas budi UMNO selepas menjadi Ahli Parlimen Tanjong Karang selama enam penggal dan bukan sebaliknya menyertai parti lain.
Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak berkata, bekas wakil rakyat itu diberikan pelbagai bentuk kemudahan dan nikmat yang tidak diperoleh ahli parti sebelum ini.
“Ada ahli kita sejak menyertai parti sehingga berpencen tidak pernah sekali pun rasa menjadi calon namun beliau (Noh) dapat enam kali. Jadi, beliau yang sepatutnya membalas jasa UMNO dengan cara sendiri dan bukannya masuk parti lain.
“Kenang sedikit jasa parti yang banyak beri kemudahan dan sumbangan kepada beliau. Tempat yang pernah menaikkan namanya tidak sepatutnya dipijak,” katanya pada sidang akhbar dekat pejabatnya, malam tadi.
Beliau mengulas tindakan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu yang kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuat kuasa sejak 4 Julai lalu.
Noh membuat keputusan itu selepas kecewa dengan nasib menimpa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang gagal mencabar Titah Adendum di mahkamah selain menyifatkan hanya Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) boleh menggantikan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
Menurut Sulaiman, beliau mengakui berdepan cabaran getir bagi menghadapi PN terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.
“Kita perlu terima hakikat bahawa Noh berkhidmat lama sebagai wakil rakyat dan mungkin juga ada sentimen atau sokongan jangka masa panjang kepada beliau.
“Justeru, semua jentera kita perlu bekerja lebih keras untuk bangkit semula di Tanjong Karang,” ujarnya.
Mengulas isu penyertaan Noh bersama Bersatu kerana Najib, beliau menganggap ia tidak sepatutnya dijadikan alasan kerana kes itu berlaku ketika Noh memegang jawatan Menteri.
Dalam pada itu, Sulaiman berkata, pihaknya menerusi hampir 18,000 sayap dan akar umbi kekal teguh menerusi kepimpinan sedia ada selepas 70 ahli bertindak keluar parti untuk menyertai Bersatu kelmarin.
“Kita mengambil maklum mengenai tindakan yang turut melibatkan sayap bahagian itu dan sudah mengesan awal wujudnya gerakan tersebut (keluar parti). Namun, kita menerusi 97 cawangan terus kekal bersoladiriti demi memperkukuhkan kepimpinan baharu UMNO bahagian ini yang baru berusia lebih setahun,” jelasnya. – UTUSAN










