SHAH ALAM: Jumlah modal pelaburan asing terkumpul Selangor sejak 2008 bagi sektor perkilangan dan pembuatan mencecah RM100.38 bilion menerusi 1,955 projek sehingga Mac tahun ini.
Malah daripada rekod akumulatif tersebut juga, pada tahun ini sebanyak 39 projek menerusi pelaburan asing dalam sektor sama di bawa masuk ke negeri ini dengan jumlah modal sebanyak RM1.97 juta antara Januari hingga Mac.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han berkata, ketika ini, Invest Selangor sedang memantau sejumlah 63 projek pelaburan asing yang sedang dalam fasa akhir sebelum memasuki proses pemeteraian perjanjian sewa atau beli.
“Projek-projek tersebut telah melalui fasa lawatan tapak. Anggaran keseluruhan potensi pelaburan adalah kira-kira RM8 bilion.
“Jumlah pelaburan asing telah diluluskan dalam sektor pembuatan dan perkilangan di Selangor dari tahun 2008 hingga Mac 2024 adalah RM100.38 bilion, dengan sejumlah 169,775 peluang pekerjaan dapat disediakan berdasarkan 1,955 projek yang diluluskan,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ke-15 Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze, beliau turut memaklumkan unjuran kemasukan pelaburan pada tahun hadapan belum dapat ditentukan lagi.
“Bagi tahun 2025, jumlah jangkaan pelaburan yang melabur di Selangor pada tahun hadapan hanya akan dapat dianggarkan setelah unjuran dilakukan berdasarkan prestasi pelaburan semasa,” ujarnya. – UTUSAN










