Perlu kuatkan UMNO dengan tarik sokongan bukan Melayu

MCA, MIC perlu kuatkan UMNO dengan tarik sokongan bukan Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: MCA dan MIC perlu mencari formula demi kelangsungan kedua-dua parti itu khususnya dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.

Ini kerana kedua-dua parti komponen itu dilihat terus ‘tersisih daripada peranan untuk menarik minat undi bukan Melayu memandangkan DAP terus konsisten di hadapan dan menjadi pilihan bukan Melayu, sekali gus menyumbang 42 kerusi pada PRU lalu.

Disebabkan itu, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, MCA khususnya akan terus tenggelam susulan keberadaan parti komponen itu bersama DAP dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.

Namun katanya, keadaan akan menjadi lebih buruk jika MCA dan MIC keluar daripada Barisan Nasional (BN) untuk membawa haluan sendiri.

“Saya berpandangan keadaan akan jadi lebih teruk sekiranya MIC dan MCA keluar daripada BN kerana kekuatan kedua-dua parti itu adalah umumnya mengetahui yang mereka adalah sebahagian daripada BN. Kerusi MCA yang dimenangi di Ayer Keroh antaranya juga adalah kerana kekuatan UMNO di kawasan tersebut.

“Jadi, jika mereka keluar daripada BN, ia meletakkan parti dalam risiko sama ada dapat menarik undi bukan Melayu atau terus terbenam dalam dunia politik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN akan terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sehingga PRU16, namun menggunakan lambang masing-masing.

MCA dan MIC dilaporkan terkejut dengan kenyataan tersebut sambil Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon yang mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat daripada MIC, Datuk R.T. Rajasekaran berkata, perkara itu tidak pernah dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi BN yang diadakan baru-baru ini.

Dalam pada itu, seorang lagi penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan turut berkata, MCA dan MIC perlu saling mendukung UMNO bagi membina kekuatan semula dan akhirnya memberi kekuatan kepada kedua-dua parti komponen tersebut.

“MIC dan MCA perlu kekal dalam BN dan itu adalah jalan terbaik, untuk menyertai PN, mereka tidak akan ke mana kerana kalau kita lihat apa yang berlaku kepada Gerakan, mereka tidak mampu menarik undi bukan Melayu disebabkan retorik Pas yang terlalu ekstrem bagi pengundi bukan Melayu berasa selesa untuk undi PN.

“Masalahnya sekarang adalah MIC dan MCA perlu berdepan dengan DAP, senario yang berlaku adalah DAP terlalu kuat dan UMNO itu lemah, maka ia membuatkan MIC dan MCA tidak dapat bergantung kerana selama ini penggantungan terhadap UMNO ini dikatakan hampir secara total dan kemenangan MCA dan MIC adalah kerana bantuan daripada UMNO yang kuat sebelum ini.

“Jadi, MCA dan MIC perlu bersabar kerana UMNO perlu sedikit demi sedikit menjadi lebih kuat dan boleh berdepan dengan DAP, seterusnya mengadakan perbincangan mengenai pembahagian kerusi. Dalam hal ini MIC dan MCA perlu kuatkan UMNO untuk berdepan dengan DAP. Tidak berguna kritik UMNO lemah kerana ia akan melemahkan penggantungan MCA dan MIC,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN