KULIM: Seorang lagi mangsa yang termakan keropok mengandungi racun tikus dilaporkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP), pada pukul 1.20 petang semalam.
Muhammad Luth Syauqi Nur Sufyan, 2, kritikal sejak dimasukkan ke hospital pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Azizul Mohd. Khairi mengesahkan perkara itu.
Terdahulu, abangnya, Muhammad Akil Syauqi, 3, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 8.30 pagi setelah bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.
Dalam kejadian itu, Muhammad Akil Syauqi dan Muhammad Luth Syauqi disedari ibu mereka mulut berbuih dan muntah di atas katil rumah di Kampung Padang Ubi, Labu Besar di sini selepas termakan keropok bercampur racun tikus.
Racun jenis serbuk itu dipercayai digunakan oleh penduduk untuk memerangkap haiwan liar terutama monyet yang didakwa merosakkan tanaman dan mengganggu ketenteraman penduduk.
Kelmarin, seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes keracunan dua beradik tersebut direman selama enam hari.
Perintah reman terhadap suspek berusia 33 tahun yang juga seorang pekebun itu dibenarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Kulim, Mirza Mohamad.
Siasatan terhadap suspek dilakukan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan kerana kelakuan cuai berkenaan dengan benda beracun.
Dalam pada itu, ibu kepada dua kanak-kanak tersebut, Nurain Hasnorizal, 25, reda dengan pemergian anak-anaknya.
Katanya, dia menerima segala ketentuan dari Allah SWT selepas anak nombor duanya itu masih tidak memberikan sebarang tindak balas sejak dimasukkan ke hospital.
“Keadaan adik masih kritikal sehingga hari ini (semalam). Saya ada di sisinya dan cuba bercakap dengannya walaupun dia tak beri apa-apa respon.
“Saya beritahu yang saya reda dengan apa yang berlaku, tak mahu lihat adik terseksa sebegini. Pergilah dekat abang (Muhammad Akil Syauqi) dan bermain bersama-samanya di sana,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Nurain memberitahu, hubungan dua beradik itu amat rapat selain sentiasa bermain bersama-sama.
“Doktor sudah berusaha sehabis baik untuk anak-anak saya. Saya amat berterima kasih dengan mereka,” ujarnya.
Proses bedah siasat dijalankan pada pukul 5 petang semalam dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan di Baling, Kedah.
Sementara itu, datuk kepada dua kanak-kana tersebut, Muhammad Nazar Abdullah, 53, sedih dan terkilan dengan kehilangan dua cucunya sekali gus.
“Kini tiada lagi keletah dua beradik itu yang menghiburkan saya dan isteri selepas kami balik daripada menoreh getah atau menjaga lembu. Gelagat mereka akan sentiasa kami rindui,” katanya.









