KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Unit II (Selangor) merampas 20 kenderaan import terdiri daripada kereta mewah dan lori dalam dua siri serbuan terhadap gudang di Pelabuhan Barat, di sini; Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.
Di Pelabuhan Barat, sebanyak 15 prime mover dan sebuah lori tangki air baharu bernilai hampir RM4 juta dipercayai tidak mempunyai permit import dirampas pada 3 Julai lalu dalam Operasi (Ops) Longkai siri pertama.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, kesemua lori tersebut disimpan di gudang berkenaan melebih empat tahun dan pengimport gagal mengemukakan permit import daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi kenderaan berkenaan.
“Bagi kenderaan mewah, keempat-empat kereta yang dirampas adalah jenis BMW dan Audi terpakai di rampas dekat gudang di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur pada 26 Jun lalu.
“Hasil pemeriksaan ke atas gudang di Kuala Lumpur, tiga unit kenderaan itu disimpan melebihi tempoh serta tidak mematuhi syarat dalam lesen gudang berlesen seperti mana dalam peruntukan Seksyen 65(2) dan Seksyen 65(5) Akta Kastam 1967,
“Manakala serbuan di Petaling Jaya melibatkan rampasan sebuah kereta yang melangar syarat lesen gudang apabila kenderaan itu diletakkan di luar kompaun gudang berkenaan tanpa kebenaran daripada JKDM,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam Pelabuhan Utara, hari ini.
Tambahnya, kesemua rampasan tersebut melibatkan jumlah dagangan sebanyak RM4.5 juta dan nilai cukai keseluruhan sebanyak RM4.8 juta.
Justeru, Norlela menjelaskan, kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) dan (g) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan hingga lima tahun dan denda antara 10 hingga 20 kali ganda nilai barangan atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, beliau menyeru kerjasama orang ramai bagi membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
“JKDM juga menyeru orang awam menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat JKDM berhampiran di seluruh negara. JKDM memberi jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan,” ujarnya. – UTUSAN










