PETALING JAYA: Objektif penubuhan Majlis Profesor Negara (MPN) tidak mencapai matlamatnya selain kerajaan tiada kawalan terhadap badan tersebut.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024, dua ahli Lembaga Pemegang Amanah (LPA) didapati tidak mengisytiharkan kepentingannya sebagai pemilik saham kepada dua syarikat persendirian selaras dengan Akta Syarikat 2016 [Akta 777].
Selain itu, berlaku penyalahgunaan dana MPN bagi pembiayaan operasi kepada dua syarikat tersebut yang semuanya berjumlah RM373,516.
Audit juga mendapati pembayaran elaun tetap Pengerusi dan Timbalan Pengerusi MPN berjumlah RM207,000 tanpa kelulusan menteri yang dipertanggungjawabkan.
Selain itu, audit juga mendapati wujud pembayaran yang dibuat tanpa kelulusan Lembaga Pemegang Amanah (LPA) iaitu honorarium felo penyelidik berjumlah RM399,000, pemasangan lif dan penqubahsuaian pejabat berjumlah RM82,500 dan penyelarasan gaji pengurusan tertinggi berjumlah RM62,500.
“Pembayaran elaun tetap Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif berjumlah RM66,000,” kata laporan itu.
Dalam pada itu, LKAN juga mendapati berlaku pengurusan geran tidak cekap kerana pengiktirafan geran tertunda sebagai hasil berjumlah RM2.43 juta tanpa dokumen sokongan dan RM0.92 juta dibelanjakan tidak mengikut tujuan geran diluluskan serta RM475,000 peruntukan tidak digunakan.
“Pembayaran kad kredit korporat berjumlah RM98,076 dan wang pendahuluan berjumlah RM20,000 tanpa dokumen sokongan,” katanya.
Justeru, LKAN mengesyorkan beberapa cadangan antaranya Jabatan Perdana Menteri perlu mengkaji semula status MPN sebagai syarikat di bawah seliaan kerajaan.
Dalam pada itu, Status MPN perlu diputuskan sebelum dipertimbangkan sama ada penyaluran peruntukan geran kepada MPN wajar diteruskan.
“Sekiranya MPN kekal sebagai syarikat di bawah seliaan kerajaan, MPN perlu membuat pindaan terhadap Artikel Pertubuhan dengan memasukkan wakil kerajaan dalam LPA untuk memantau operasi dan kewangan MPN.
“JPM perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan MPN bagi ketakteraturan yang dikenal pasti dengan merujuk kepada agensi penguatkuasaan berkaitan dan pengurusan MPN perlu dirombak secara menyeluruh,” katanya.- UTUSAN










