GUA MUSANG: Veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah atau Kuli mendedahkan beliau terpaksa melupakan hasrat untuk ‘berehat’ daripada karier politik semata-mata mahu membantu Kerajaan Perpaduan merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 17 Ogos ini.
Tengku Razaleigh berkata, tindakan itu selepas beliau diberi mandat oleh pucuk pimpinan menjadi Pengarah PRK Nenggiri
“Saya sebenarnya berhasrat untuk menyampaikan ucapan akhir saya di persidangan ini kerana barangkali sudah sampai masa merehatkan kerusi tempat saya duduk agar diambil alih oleh orang yang lebih kacak, muda, pintar pemikiran dan lebih cocok memimpin generasi baru.
“Namun apakan daya ada PRK dan saya diberi tugas menjadi Pengarah PRK Nenggiri. Walaupun lutut saya terketar-ketar, lawan tetap lawan,” katanya semasa berucap Merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gua Musang di Balai Rakyat Bukit Cekati di sini semalam.
Ku Li memberitahu, PRK Nenggiri dilihat menjadi medan besar kepada gabungan Barisan Nasional untuk menebus kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata, PRK Nenggiri merupakan misi untuk menebus kekalahan terutamanya di peringkat Parlimen Gua Musang dan dua DUN Nenggiri serta Paloh.
“Kita berharap pucuk pimpinan akan memilih calon yang benar-benar boleh mewakili parti dan bekerja untuk rakyat. Kita tebus DUN Nenggiri dan segala-galanya dalam PRU lepas. Itu hasrat kita menandakan perasaan yang didorong perjuangan yang mahu menebus kegagalan serta kedukaan kita lalui.
“Saya akan menyahut seruan parti untuk turun padang bersama jentera kerana lawan tetap lawan,” katanya.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan. -UTUSAN











