KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mempertimbangkan cadangan mengembalikan windfall tax atau levi keuntungan luar biasa kepada industri supaya boleh meningkatkan produktiviti sektor kelapa sawit.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara itu supaya dapat memastikan kutipan berkenaan dipulangkan kepada mereka untuk melakukan penanaman kelapa sawit.
Katanya, ini kerana levi tersebut dilihat sudah tidak praktikal ketika kos mengeluarkan minyak kelapa sawit sudah melebihi RM3,000.
“Kadangkala windfall tax ini tidak praktikal. Dahulu kita punya kos untuk keluar satu metrik tan lebih kurang RM1,800, tetapi nak keluarkan satu tan minyak kelapa sawit boleh mencecah hingga RM2,800 ke RM3,200 bergantung saiz.
“Jadi sudah tentu windfall tax yang kita guna pakai formula waktu kos RM1,800 mungkin sesuai, tetapi sekarang sudah RM2,800 ke RM3,200 mungkin sudah tidak sesuai,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) berhubung cadangan mengembalikan windfall tax kepada industri supaya boleh mempercepatkan proses penanaman semula untuk meningkatkan produktiviti dengan lebih cepat.
Terdahulu, Johari berkata, jumlah produktiviti sektor kelapa sawit di negara ini masih lagi rendha berbanding Indonesia kerana negara itu membuka kawasan baharu berikutan liputan hutan mereka yang masih tinggi.
“Kalau lihat pada 2013, negara mengeluarkan 19.6 juta metrik tan dan Indonesia pada ketika itu mengeluarkan 26.5 juta metrik tan. 10 tahun selepas itu, pada 2023 kita punya pengeluaran hanya 18.5 juta dan Indonesia 48 juta.
“Ini berlaku kerana kita tidak buka kawasan baru sebab mematuhi standard Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang kena pastikan tiada penebangan hutan…pastikan perubahan iklim tidak berlaku.
“Cuma dalam konteks kita dengan indonesia, Indoenesia masih lagi membuka kawasan baharu kerana mungkin liputan hutan masih tinggi. Indonesia sekarang ini sudah mencecah hampir 14 juta hektar, kita hanya 5.7 juta hektar.
“Perkara yang menyebabkan kita ada masalah dari segi peningkatan produktiviti pengeluaran kelapa sawit adalah kerana daripada 5.7 juta itu 4.2 juta hektar dikendalikan oleh pihak swasta dan 1.5 juta hektar ini dikendalikan oleh pengusaha kecil.
“Jadi 1.5 juta ini punya (produktiviti) telah menurun kerana banyak pokok mereka telah tua, tidak cukup untuk buat penanaman semula,” katanya. – UTUSAN











