GEORGE TOWN : Sekurang-kurangnya 17 lif di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini terpaksa dihentikan operasi secara sementara bermula awal pagi tadi ekoran kejadian limpahan air dari bilik tangki di Tingkat 27, bangunan itu.
Secara keseluruhannya, terdapat 22 buah lif di Komtar dengan lapan buah lif di ‘low zone’, enam buah lif di ‘mid zone’ dan lapan buah lif di ‘high zone’.
Pada masa ini, hanya empat buah lif di low zone beroperasi, satu buah lif di mid zone beroperasi manakala kesemua lapan buah lif di high zone masih tidak boleh beroperasi.
Ketua Pegawai Operasi PDC Setia Urus Sdn Bhd (PDCSU), Loi Kai Horng berkata, kejadian limpahan air tangki itu berlaku kira-kira pukul 3.15 pagi tadi.
“Siasatan awal mendapati terdapat over flow dari tangki air tersebut dan juruteknik PDCSU telah berjaya menghentikan aliran keluar.
“Siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengesan punca utama kejadian. Berikutan insiden ini, juruteknik PDCSU mendapati limpahan air telah memasuki lif di kawasan tersebut,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, atas faktor keselamatan, pihak pengurusan terpaksa menghentikan operasi lif yang terjejas buat sementara waktu.
“Pasukan teknikal PDCSU dan kontraktor lif terus bertungkus-lumus menjalankan pemeriksaan dan ujian keselamatan pengoperasian lif ke atas lif-lif yang terjejas agar kesemua lif dapat beroperasi semula secepat mungkin.
“Pasukan teknikal sedang berusaha untuk memastikan sekurang-kurangnya sebuah lif di ‘high zone’ dapat beroperasi hari ini.
“Usaha yang dijalankan melibatkan kerja-kerja mengepam air keluar, mengeringkan air di dalam komponen lif bagi memastikan lif dapat digunakan dengan segera,”katanya.
Tambahnya, pemeriksaan dan ujian keselamatan pengoperasian ke atas lif-lif itu dijangka selesai sepenuhnya esok.-UTUSAN











