BUKIT MERTAJAM : Sebuah kilang memproses barang pelupusan bahan kimia dan kitar semula di Bukit Minyak di sini musnah dalam satu kebakaran pagi tadi.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2.55 pagi itu, bangunan berkeluasan 100 x 200 kaki persegi itu dikatakan hangus terbakar sehingga 60 peratus.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut.
Katanya, selain kilang, kebakaran turut melibatkan dua buah lori dan sebuah van dengan tahap kemusnahan sehingga mencecah 80 peratus.
“Teknik pemadaman ‘offensive’ dan ‘defensive’ diaplikasi dengan penggunaan buih di beberapa kawasan. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian tersebut,” katanya.
Tambah beliau, operasi pemadaman turut dibantu oleh BBP Perai, BBP Sungai Bakap, BBP Kepala Batas dan beberapa anggota daripada pasukan bomba sukarela (PBS) berdekatan.
Difahamkan, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.-UTUSAN







